#HPU914 : Muafakat Nasional pilihan utama

Share


Gagasan Muafakat Nasional dilihat mampu menjadi pilihan utama menggantikan pentadbiran kakistokrasi yang telah mengakibatkan negara menjadi negara gagal.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, Muafakat Nasional menawarkan pelbagai dasar alternatif dalam menzahirkan prinsip semak dan imbang, mempunyai hala tuju yang lebih pragmatik, realistik serta lebih mampan.

Beliau malah mematikan dakwaan pihak tertentu kononnya kerjasama antara UMNO dan Pas bersifat perkauman dengan menegaskan bahawa kedua-dua parti itu mempunyai objektif untuk menjamin hak semua kaum dan bangsa.

“Sejarah telah membuktikan selama Barisan Nasional (BN) memerintah, kita menjunjung Perlembagaan Persekutuan dan kontrak sosial yang dibentuk oleh pengasas kemerdekaan negara.

“Agenda besar permuafakatan ini perlu dilihat sebagai penyelesaian terhadap permasalahan hari ini. Dalam usaha mewujudkan kedamaian, keharmonian dan pembelaan nasib rakyat, penyatuan ummah dan negara hendaklah diutamakan,” katanya.

Beliau berkata demkian ketika berucap dalam majlis menandatangani Piagam Muafakat Nasional yang berlangsung di dalam Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Yang turut hadir Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan pemimpin-pemimpin tertinggi pelbagai parti politik serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari seluruh negara. – UTUSAN ONLINE



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *