Annuar sebak bacakan Piagam Muafakat Nasional

Hampir tujuh dekad berjuang di landasan berbeza dan hari ini, UMNO dan Pas kembali bersatu. Mungkin kerana itulah Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa tidak dapat menahan sebak dan menitiskan air mata ketika membacakan Piagam Muafakat Nasional.

Malah, emosi Annuar itu turut dirasai oleh hampir kesemua peserta Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) apabila mereka juga dilihat turut mengesat air mata dan menunduk menahan sebak.

Pelbagai reaksi dapat diihat di wajah para hadirin ketika Annuar membacakan piagam tersebut. Semangat berkobar-kobar, gembira, terharu, malah ada yang sedih mengenangkan rakan seperjuangan mereka yang tidak sempat menyaksikan sejarah baharu ini kerana sudah kembali kepada ilhai.

Perpaduan dan permuafakatan ini sudah sekian lama dirindui rakyat khususnya buat orang Melayu dan Islam. Ibarat adik-beradik yang lama berkelahi dan kini berbaik mengikut al-Quran dan as-sunnah.

Tidak terkecuali intipati Piagam Muafakat Nasional yang dilihat mampu membela rakyat daripada keperitan hidup dalam keadaan politik yang serba tidak kena.

Berikut pengisytiharan penuh Muafakat Nasional yang dibacakan oleh Annuar dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan:

Maka dengan ini, UMNO dan PAS, menginsafi kewajipan-kewajipan untuk:

Menjunjung dan mempertahankan keluhuran Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin pembentukan Negara, Islam sebagai Agama Persekutuan, kedaulatan Raja-Raja Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera serta kepentingan sah kaum-kaum lain, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan serta menjamin kepentingan masyarakat majmuk terpelihara.

Memperkukuh Muafakat Nasional melalui amalan musyawarah yang melibatkan pelbagai latar agama, kaum dan budaya demi kepentingan negara.

Memperkasa agenda Islam, Melayu dan bumiputera secara tuntas dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan demi membangunkan watan yang sejahtera.

Membentuk kerjasama dengan mengembangkan naratif (Islam dan Melayu) tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum dan kesejahteraan negara.

Mengikhtiarkan secara kolektif satu citra dan tawaran baru untuk negara dalam meningkatkan tadbir urus yang baik, dasar pembangunan yang inklusif dan sejahtera serta pengagihan yang menyuburkan keadilan sosial merentasi batas warna kulit dan anutan.

Justeru, marilah kita semua rakyat berganding bahu mendukung Muafakat Nasional demi Malaysia yang sejahtera. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker