Penggabungan Unisza-UMT : Maszlee jangan fikir nak untung saja – Mahdzir

Mahdzir selar menteri: Kenapa fikir semua nak untung?

Naib Presiden Umno, Mahdzir Khalid menyelar Menteri Pendidikan Maszlee Malik yang berkata penggabungan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) adalah kerana kedua- dua universiti itu tidak mempunyai pelan strategik yang jelas.

Mahdzir, yang juga adalah bekas menteri pelajaran sebelum BN tumbang pada pilihan raya umum lalu berkata, UMT & Unisza mempunyai hala tuju masing-masing.

“Dia (Maszlee) hanya nak cakap pasal nak jimat. Saya ingat universiti itu ada hala tuju masing-masing.

“Pada sayalah, apa-apa yang nak dibuat itu kena berhati-hati dan kena melihat perkara lebih jauh. Tak boleh kita ambil jangka pendek semata-mata,’’ katanya kepada Malaysiakini ketika dihubungi, hari ini.

Jemaah menteri pada 4 September lalu bersetuju secara prinsip dengan cadangan penggabungan UMT dan UniSZA.

Pejabat Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan menerusi kenyataan, berkata penggabungan itu dilihat sebagai satu daripada transformasi penyampaian pendidikan tinggi.

Berikutan cadangan itu, lebih 20,000 penuntut UMT dan UniSZA tidak bersetuju dan membantah cadangan penggabungan dua universiti itu.

MPP dua universiti itu, berkata, penggabungan UMT dan UniSZA bukan saja akan menghilangkan identiti institusi pengajian tinggi itu tetapi latar belakang pengajian universiti yang jauh berbeza.

Mahdzir berkata, penggabungan universiti bukan soal untung rugi tetapi bagaimana rakyat memperoleh manfaat daripada penggabungan itu.

“Modal insan mana kita cerita untung rugi. Kenapa awak (menteri) fikir semua nak untung, nak rugi, nak jimat sana, nak jimat sini, (kalau begitu) kita tak payah buat untuk rakyatlah.

“Tak payah buat hospital, tak payah buat balai polis, tak payah buat sekolah sebab semua nak kira untung rugi.

“Kita membangunkan sumber manusia. Yang penting macam mana rakyat mendapat manfaat (dengan) membina pengajian tinggi (menggabungkan universiti).

“Carilah penyelesaian. Universiti awam itu kerajaan bina untuk kemudahan rakyat,’’ katanya.

Semalam, memetik kenyataan yang dilaporkan media tempatan, Maszlee berkata UMT dan Unisza tidak mempunyai pelan yang strategik sehingga terpaksa digabungkan.

Beliau juga berkata penggabungan institusi juga berlaku di luar negara untuk meningkatkan tahap keberkesanan, jangkauan, nilai dan daya daing sesebuah institusi baru.

Untuk rekod, UMT ditubuhkan pada 1 Julai 2001 manakala Unisza pula ditubuhkan pada 24 Ogos 2005 dan ketika itu dikenali sebagai Universiti Darul Iman Malaysia.

Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker