#HPU914 : Pas tidak layan perang psikologi PH

Pas tidak berminat untuk melayan kisah lama antara parti itu dengan UMNO yang cuba dibangkitkan Pakatan Harapan (PH) , sebaliknya mahu menumpukan kepada usaha kerjasama menerusi Piagam Muafakat Nasional yang akan dimeterai, Sabtu ini.

Naib Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, terpulang kepada pihak lawan untuk melakukan perang psikologi dengan memberi pelbagai pandangan mereka kerana Pas tidak sesekali tergugat dengan tindakan tersebut.

“Dalam permainan bola sepak, sebelum perlawanan akan ada perang psikologi, jadi kita akan menghadapinya.

“Kita tidak boleh menghalang orang memberi pandangan dan komen kerana bagi saya ia di luar topik sebenar isu kerjasama antara Pas-UMNO. Kita berminat untuk melihat masa hadapan dan tindakan ungkit kisah lalu tidak akan menyelesaikan masalah,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menghadiri sesi ‘Walk Through Bengkel projek Kuala Terengganu City Centre (KTCC) Promenade’ di Hotel Primula di sini hari ini.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad secara sinis meminta Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menarik balik kenyataan bahawa UMNO kafir sebelum kedua-dua parti itu menjalinkan kerjasama atau memeterai piagam, Sabtu ini.

Kata Pengerusi PH itu, jika Pas tidak menarik balik ‘gelaran’ itu, maka parti tersebut juga disifatkan kafir kerana menjalinkan kerjasama dengan UMNO yang pernah dikatakan kafir dahulu.

Ahmad Samsuri berkata, Pas dan UMNO mempunyai matlamat jelas dalam kerjasama tersebut, justeru mahu terus fokus dan sentiasa bergerak ke hadapan.

Beliau menarik perhatian, bukan hanya Pas dan UMNO yang mempunyai rekod tidak sebulu sebelum ini, malah juga parti-parti lain misalnya antara UMNO ketika dipimpin, Dr. Mahathir dengan DAP. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker