Hanya orang gila talak ungkit kisah lama Pas dan UMNO – Haji Hadi

Pas menggambarkan pihak yang mengungkit kisah-kisah lama antara parti itu dengan UMNO sebagai individu gila talak kerana masing-masing bukan lagi ahli kedua-dua parti teras orang Melayu dan Islam itu.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, sebagai ahli yang telah meninggalkan parti, maka tidak sepatutnya golongan tersebut mencampuri lagi urusan Pas atau UMNO yang langsung tidak berkaitan dengan mereka.

“Saya rasa yang ungkit itu dia bukan orang Pas, bukan juga orang UMNO. Mereka itu sama ada sudah keluar daripada Pas atau UMNO, bak kata orang macam sudah gila talak.

“Jadi, biarlah Pas dan UMNO yang selesaikan dan sebenarnya kita memang sudah menyelesaikannya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya sejurus selepas mengadakan kuliah Jumaat di Masjid Rusila di sini hari ini.



Baru-baru ini, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad secara sinis meminta Abdul Hadi menarik balik kenyataan bahawa UMNO kafir sebelum kedua-dua parti itu menjalinkan kerjasama atau memeterai Piagam Muafakat Nasional esok.

Dr. Mahathir dilaporkan berkata, Amanat Haji Hadi masih relevan, kecuali beliau membuat kenyataan rasmi memohon maaf terhadap UMNO.

Selain itu, bekas Naib Presiden Pas, Datuk Salahuddin Ayub turut dilaporkan mengulas mengenai isu Amanat Haji Hadi sekali gus yakin Pas tidak akan menarik balik amanat yang sudah dianggap seperti ‘kitab azimat’ mereka.

Dalam perkembangan sama, Abdul Hadi berpendapat, tiada keperluan untuknya melayan permintaan Dr. Mahathir yang mahu beliau menarik balik kenyataan yang melabelkan UMNO sebagai kafir kerana perkara tersebut merupakan urusan antara Pas dan UMNO, malah ia telah ditangani secara ilmiah sejak dahulu lagi.



Ahli Parlimen Marang itu seterusnya menarik perhatian, tidak timbul soal Pas dan UMNO saling memaafkan antara satu sama lain sebaliknya, kedua-dua parti tersebut kini mengambil pendekatan berterima kasih sesama mereka.

“Bukan memohon maaf tetapi berterima kasih antara satu sama lain. Kita membetulkan keadaan dan kesilapan secara muzakarah serta ilmu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Mahathir ‘Gila Talak’, masih mengaku UMNO partinya



https://mykmu.net/2017/04/28/giliran-pemuda-pas-jatuhkan-talak-tiga-dengan-pkr/

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker