Buru semua warga asing dapat MyKad sah secara salah

PULAU PINANG 12 Sept. – Badan Perhubungan UMNO negeri menggesa pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen memburu kesemua warga asing yang berjaya mendapatkan MyKad sah secara salah.

Pengerusinya, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, pembongkaran sindiket penjualan MyKad sah kepada warga China di negeri ini itu yang didalangi pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) adalah mengejutkan dan membimbangkan seluruh rakyat.

Katanya, sindiket itu bukan hanya melakukan kesalahan membabitkan kedaulatan negara, malah meletakkan seluruh rakyat negara ini terhadap ancaman dan risiko keselamatan.

Ujar beliau, pihak berkuasa juga perlu menjelaskan kepada rakyat tentang sejauh mana sindiket tersebut telah beroperasi serta jumlah sebenar dokumen pengenalan diri negara ini yang sah yang sudah dikeluarkan kepada warga asing secara salah.

“Kegiatan ini adalah jenayah yang serius dan kita berharap pihak berkuasa berkaitan dapat menjalankan siasatan menyeluruh bagi memastikan sindiket ini dibongkarkan dan ditumpaskan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, polis mendedahkan berjaya membongkar sindiket penjualan dokumen pengenalan diri MyKad kepada warga China di negeri ini yang didalangi pegawai JPN negeri.

Kes itu terbongkar selepas pegawai Jabatan Imigresen membuat laporan polis berikutan permohonan pasport oleh seorang pemegang MyKad sah namun didapati tidak boleh berkomunikasi dalam bahasa Melayu dipercayai berlaku pada Mei lalu.

Dalam pada itu, Musa turut menggesa siasatan sepenuhnya dilakukan khususnya di JPN seluruh negara bagi mengenal pasti kepincangan dan ketirisan sehingga membolehkan sijil kelahiran dan MyKad sah diberikan kepada warga asing.

Katanya, adalah jelas terdapat kelemahan dalam pentadbiran dan operasi JPN selaku agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam soal kedaulatan negara apabila dokumen pengenalan diri negara dapat dijual beli dengan mudah. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker