Syiah tiada hak sebar fahaman di Malaysia, kata mufti

Di sebalik keterbukaan mufti Pulau Pinang menyokong pengikut Syiah mengamalkan kepercayaan mereka asalkan dibuat secara tertutup, 2 mufti lain bagaimanapun menyokong tindakan pihak berkuasa menyerbu dan menahan pengikut fahaman itu.

Mufti Perak, Harussani Zakaria berkata ajaran Syiah tidak boleh disebar dan diamalkan di Malaysia walaupun ia diadakan secara tertutup sekalipun.

“Semua agama yang ada dalam dunia ini tidak pernah mengaku dia sesat, walaupun dia sesat.

“Saya nasihat jangan kita cari benda yang sudah dihukum ribuan tahun salah, tiba-tiba kita nak terima (Syiah), kenapa?

“Sebab sekarang kita berada dalam keadaan yang cukup selamat, kenapa nak tukar fahaman (di Malaysia), isu ini timbul sebab ada orang kita mudah terpengaruh dan ada sifat ingin menunjuk,” katanya kepada FMT.

Harussani berkata fahaman Syiah jelas menyimpang daripada fahaman Sunnah yang diamalkan majoriti rakyat Malaysia.

“Kita Malaysia tidak iktiraf langsung fahaman lain seperti Syiah, demikian itu kita tidak benarkan orang kita amalkan ajaran Syiah atau Syiah dikembangkan di negara ini,” katanya.

Diminta mengulas dakwaan pengikut Syiah bahawa mereka tidak sesat dan menyeleweng, Harussani berkata tidak ada mana-mana pengikut agama di dunia ini yang akan mengaku mereka salah.

Pendirian Harussani disokong Mufti Pahang Abdul Rahman Osman yang menegaskan Syiah tidak sepatutnya di beri hak untuk disebarkan di Malaysia kerana Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 1996 memutuskan sebarang ajaran mengenai agama Islam selain ajaran Sunnah adalah bercanggah dengan hukum syarak.

Rahman turut menyeru pihak berkuasa melakukan pemantauan secara bersungguh dalam membanteras penyebaran Syiah di Malaysia kerana isu sama berulang menjelang Hari Asyura setiap tahun.

“Syiah boleh pecah belahkan masyarakat Islam di Malaysia jika ia tidak dikawal secara bersungguh, sepatutnya mereka tidak diberi hak di Malaysia kerana kita berpegang kepada fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah, bermazhab Shafie.

“Sedangkan mazhab lain kita tidak benarkan di Malaysia inikan pula Syiah. Fahaman itu mengelirukan jika ia diamal di Malaysia,” katanya sambil memaklumkan fahaman itu mungkin lebih sesuai diamalkan di negara yang majoriti mengamalkan ajarannya.

Rahman berkata, selain Syiah, fahaman lain juga tidak sesuai diamal Malaysia termasuk Wahabi dan Qadiani kerana dibimbangi akan memecah belahkan umat.

“Macam Wahabi ia Islam tapi ia boleh memecah belahkan masyarakat dan dari segi akidah ada benda yang Wahabi bercanggah dengan ahli Sunnah,” katanya.

Terdahulu, Mufti Pulau Pinang Wan Salim Wan Mohd Noor berkata pengikut ajaran Syiah sepatutnya diberi kebebasan untuk mengamalkan kepercayaan mereka selagi mereka tidak menyebarkan kepada umat Islam lain yang berpegang kepada aliran Sunnah.

“Kalau para penganut semua agama selain Islam dibenarkan mengamalkan agama masing-masing di tempat-tempat tertutup, kenapa pula pengikut Syiah perlu dilarang?

“Kita mesti konsisten dan tidak memilih-milih sesuka hati saja,” katanya kepada FMT.

FMT

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker