Maszlee Salah… Polisi BN Tak Tutup IPG Tapi Tukar Fungsi – Mahdzir

Share


Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid membidas Menteri Pendidikan Pakatan Harapan (PH), Dr Maszlee Malik yang menuduh penutupan 21 Institut Pendidikan Guru (IPG) adalah disebabkan mengikut polisi kerajaan terdahulu, Barisan Nasional (BN).

Ujarnya dalam satu hantaran di Facebook, kerajaan BN tidak menutup sebaliknya menukar fungsi beberapa IPG.

“Macam mana Dr Maszlee Malik boleh sebut polisi kerajaan terdahulu nak tutup 21 IPG daripada 27 IPG.

“Keputusan dibuat oleh kerajaan BN yang lalu hanya 11 IPG akan bertukar fungsi kepada Kolej Vokasional, Politeknik dan Permata Pintar.

“IPG tidak pernah ditutup tetapi bertukar fungsi itu pun melibatkan hanya 11 IPG,” tegasnya yang juga bekas Menteri Pendidikan.

Hari ini, Maszlee yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam berkata cadangan penutupan 21 daripada 27 IPG di seluruh negara pada tahun depan adalah polisi kerajaan terdahulu ekoran laporan muka depan sebuah akhbar arus perdana mengenainya.

Mengulas lanjut, Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata perkara tersebut boleh dirujuk kepada kenyataan yang pernah dibuat oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada tahun 2016 lalu.

Dalam kenyataan KPM tersebut, jelas menunjukkan tiada IPG yang akan ditutup, hanya penukaran fungsi selaras dengan perkembangan serta keperluan ‘Technical Vocational Education and Training’ (TVET) di negara ini.

Begitu juga IPG Kampus Raja Melewar, Negeri Sembilan dan IPG Kampus Tuanku Bainun, Pulau Pinang adakan dijadikan Pusat Permata.

Manakala IPG yang tidak terlibat pertukaran fungsi akan terus kekal menampung keperluan latihan Program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (PISMP). – UMNO ONLINE



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *