Letakkan kepentingan negara

KUALA LUMPUR 10 Sept. – Semua pihak digesa meletakkan kepentingan negara bangsa iaitu untuk wujudkan keamanan dan kestabilan terlebih dahulu sebelum kepentingan diri serta kelompok tertentu.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Johar berkata, rakyat Malaysia harus ada mentaliti sebagai rakyat negara maju dengan memfokuskan soal pembangunan meliputi ilmu, anak muda, teknologi dan memerangi jenayah serta gejala sosial.

“Negara-negara maju lain berlumba membangunkan teknologi angkasa, kita masih sibuk dengan soal remeh dan sempit. Isu sensitif dan sempit inilah melambatkan kemajuan negara.

“Ahli politik pula perlu bergerak ke arah kematangan dengan mempromosi politik matang, politik ilmu, politik bakti dan politik penyatuan. Fokus kepada bantu belia dan rakyat yang sedang dihimpit kesempitan kehidupan dan kemelesetan.

“Laporan wakil Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ke Malaysia, Philip Alston mengenai kemiskinan dan hak asasi patut membuka mata ahli politik Malaysia bahawa fokus kita terus bantu rakyat miskin,” katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.

Beliau mengulas titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengingatkan seluruh rakyat Malaysia supaya tidak memperalatkan isu-isu sensitif bagi kepentingan mana-mana pihak.

Sementara itu, Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Aminuddin Yahya berkata, pemimpin negara tidak kira daripada kerajaan mahupun pembangkang harus lebih bertanggungjawab dalam memelihara keamanan negara dan bukan menjadi ejen yang mengapikan lagi sentimen perpecahan.

“Dalam masa sama, kerajaan harus peka tentang kandungan Perlembagaan dan tudak bukan membiarkannya dicabar contohnya kedudukan raja-raja dan bumiputera.

“Kerajaan mesti bertegas tanpa mengira parti dalam soal-soal sensitif. Juga dalam menolak desakan daripada pihak luar negara,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker