Ekonomi halal seluas lautan biru

Oleh Dr Hakimah Yaacob

HALAL adalah cabang ekonomi baharu yang bukan hanya bertumpu kepada makanan semata-mata namun mencipta Prosedur Operasi Standard (SOP) berkualiti tinggi membabitkan kebersihan, keselamatan, pembuatan, perkhidmatan, pemakaian serta cara hidup.

Kualiti sebegini memberi lebih keyakinan kepada pelabur, pelancong serta pengguna.

Dengan pertumbuhan ekonomi pesat, tuntutan kehidupan dan kehendak manusia yang berbeza, halal ekonomi memberikan satu dimensi baharu.

Kadar kebergantungan terhadap cara hidup bukan Islam akan berkurangan kerana salah satu faktor dominasi ekonomi adalah jumlah populasi serta permintaan tinggi.

Menurut kajian Pusat Penyelidikan Pew tahun ini, peningkatan bilangan penganut Islam kepada 1.6 bilion bermula pada 2010, merangkumi 23 peratus keseluruhan populasi dunia.

Jika ia berterusan, maka dianggarkan di antara 2010 dan 2050, angka ini akan naik kepada 9.3 bilion, iaitu 35 peratus populasi dunia.

Pada 2010, penganut Kristian adalah agama yang terbesar, iaitu 2.2 bilion, hampir 31 peratus daripada 6.9 peratus seluruh penganut di seluruh dunia.

Jika kenaikan penganut agama Islam berterusan, maka angka ini akan melebihi penganut Kristian yang ketika ini penganut terbesar dunia, iaitu sebanyak 31 peratus.

Pada masa sama, generasi muda Muslim mempunyai kadar kesuburan yang tinggi dan dianggarkan meningkat sebanyak 73 peratus.

Jika dilihat kepada perkembangan Islam pada hari ini, tidak mustahil, ekonomi halal yang berpaksikan kepada al-Quran dan sunah adalah sesuatu yang amat penting.

Pertumbuhan populasi

Kajian dari Halal Crescentrating pada 2016 menunjukkan faktor utama pelancongan Muslim antarabangsa meningkat dengan drastik adalah berpunca dari pertumbuhan populasi Muslim seluruh dunia.

Pasaran pelancongan Muslim adalah bukti kepada pembangunan ekonomi halal paling pesat membangun. Pada 2015, dianggarkan 117 juta pelancong adalah Muslim dan angka ini disasarkan meningkat kepada 168 juta pada 2020.

Sumber dari Halal Crescentrating memetik perbelanjaan pelancong ini dianggarkan melebihi AS$200 bilion (RM815 bilion).

Enam faktor utama dikenal pasti diperlukan oleh pelancongan Muslim adalah seperti makanan halal, kemudahan solat, perkhidmatan ketika bulan Ramadan, tandas sesuai bagi Muslim, aktiviti halal, kemudahan rekreasi sesuai serta kemudahan perkhidmatan privasi.

Antara negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang dikenal pasti menjadi tumpuan utama adalah Malaysia, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Turki, Indonesia dan Qatar.

Menariknya Malaysia menduduki tangga teratas dengan 81.9 peratus sebagai destinasi pelancongan pilihan.

Bidang ekonomi halal bukan hanya bertumpu kepada pelancongan semata-mata. Hasil dari turutan kehendak pelancongan, maka lahirlah tuntutan kehendak terhadap keperluan makanan halal, pakaian dan fesyen halal, kosmetik halal, rekreasi halal, hiburan mematuhi syariat dan sebagainya.

Peningkatan kesedaran ini juga membuka ruang kepada perniagaan yang halal.

Tuntutan perniagaan halal memerlukan logistik halal, insurans atau takaful, sistem perbankan patuh syariah dan sebagainya.

Makanan yang dituntut sebagai halal wajib mematuhi garis panduan halal seperti sijil pengiktirafan halal, sijil keselamatan makanan seperti MESTI yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selain tuntutan kesihatan pengendali makanan, seperti suntikan kepialu.

Ini merangkumi farmaseutikal halal, media halal dan sebagainya. Kajian DinarStandards menunjukkan negara OIC mengimport sayur sayuran sebanyak 49.5 peratus iaitu AS$105 bilion (RM428 bilion) makanan yang diproses diimport sebanyak 31.9 peratus.

Malaysia diletakkan sebagai sangat komprehensif dan terbaik dari segi tadbir urus makanan halal, pembangunan ekonomi makanan halal dan kewangan Islam.

Kosmetik halal

Eksport dunia adalah sebanyak AS$514 bilion (RM2 trilion) dalam sektor kosmetik dan farmaseutikal dilaporkan bahawa negara yang menyediakan platform terbaik bagi farmaseutikal halal serta kosmetik halal adalah Singapura.

Nilai import fesyen halal global adalah AS$429 bilion (RM1.7 trilion) Negara yang menyediakan ekonomi halal bagi fesyen adalah China.

Pengguna Muslim membelanjakan hampir AS$1.8 trilion (RM7.34 trilion) untuk sektor makanan dan dianggarkan mencecah AS$2.6 trilion (RM10.60 trilion).

Pakaian halal

Pada 2020, AS$429 bilion (RM1.7 trilion) dibelanjakan untuk pembelian fesyen dan pakaian halal. Semua angka dan nilai ini adalah hasil dari kajian DinarStandards dan Halal Crescentrating.

Jika dilihat kepada angka di atas, maka sudah cukup terbukti halal ekonomi menjanjikan pasaran yang sangat luas terhadap dunia. Inilah masanya untuk kita mengambil peluang yang ada dengan menyediakan platform terbaik bagi pengurusan halal untuk memenuhi permintaan dunia.

Mungkin terdapat bidang lain yang belum diteroka seperti perladangan halal dan sistem pengurusan halal.

Sistem perkhidmatan halal amat diperlukan dalam bidang perhotelan, pelancongan perkapalan, penerbangan serta pendidikan. Dengan pertumbuhan yang pesat ini, sudah tiba masanya untuk sistem pendidikan halal dunia diusahakan.

Sistem ini perlu diiktiraf oleh industri halal seluruhnya kerana mampu melahirkan pegawai halal profesional yang efisien, penasihat syariah halal bertaraf dunia dan memenuhi keperluan pasaran global, sekali gus mencipta ruang pekerjaan baharu.

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker