Yew Yin sambut baik cadangan skim kontrak penjawat awam.

Ahli perniagaan, Koon Yew Yin yang sebelum ini mencadangkan kakitangan awam dikurangkan menyambut baik cadangan tiada lagi lantikan baharu dalam perkhidmatan awam di bawah skim tetap dan berpencen.

Menurutnya, beliau gembira kerana kerajaan akhirnya melihat matlamat cadangannya itu yang bertujuan mengurangkan perbelanjaan selain meningkatkan mutu perkhidmatan awam.

“Saya sangat gembira apabila mendapat tahu Dr. Mahathir bercadang untuk melaksanakan cadangan saya bagi mengurangkan perbelanjaan kerajaan.

“Cadangan ini juga akan meningkatkan mutu perkhidmatan awam yang mana Malaysia mempunyai jumlah kakitangan awam perkapita tertinggi di dunia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada 19 Ogos lalu, Yew Yin memberi keterangan lebih dua jam di Balai Polis Jelapang di sini berhubung kenyataannya yang didakwa menghina anggota tentera.

Mengenai perkara itu, Yew Yin mengakui beliau cuai kerana menggunakan perkataan yang menghina anggota tentera ketika memberikan cadangan supaya kakitangan awam dikurangkan.

“Agak malang saya cuai kerana menggunakan beberapa patah perkataan yang menghina anggota tentera.

“Ini menyebabkan saya disoal siasat pihak polis selama dua jam setengah. Namun akhirnya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) dapat melihat objektif dalam artikel (cadangan mengurangkan kakitangan awam) saya,” katanya.

Baru-baru ini, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Borhan Dolah berkata, lantikan baharu dalam perkhidmatan awam mungkin tidak lagi dibuat di bawah skim tetap dan berpencen.

Sebaliknya ia akan digantikan dengan skim lantikan kontrak yang ditambah baik bermula tahun depan.

Mengulas perkara itu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semalam berkata, kerajaan sedang mencari jalan terbaik berhubung cadangan itu bagi memastikan ia tidak merugikan penjawat awam.

Perdana Menteri berkata, tiada sebarang keputusan dibuat berkenaan cadangan itu dan ia masih belum dibincangkan di peringkat Kabinet.

Beliau menjelaskan bayaran pencen ketika ini sudah menjadi begitu besar. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker