Mari berdebat, jangan lari : Ka Siong cabar Guan Eng dan KM Pulau Pinang.

Share


Terus siasat skandal terowong dasar laut

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali lagi digesa menyiasat skandal terowong dasar laut Pulau Pinang.

Gesaan itu dibuat oleh Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong yang memaklumkan telah menghantar surat kepada Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya semalam.

Menurut beliau, surat tersebut dihantar sekali lagi selepas tiada maklum balas pembongkaran yang dibuat SPRM terhadap skandal terowong terbabit dahulu.

“Semalam saya telah menulis surat kepada Datuk Seri Abdul Hamid Bador untuk mendapatkan salinan laporan polis tentang pembongkaran kertas siasatan mengenai skandal terowong dasar laut Pulau Pinang.

“Surat yang serupa telah ditulis kepada bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan bekas Ketua Pengarah SPRM, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull atas saranan Mohamed Hanipa Maidin di Dewan Rakyat pada 1 April. Tetapi, tiada sebarang maklum balas sehinggalah mereka berdua bersara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang dimuat naik dalam akaun Facebook miliknya hari ini.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Ka Siong menyelar tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang mengelak untuk berdebat dengannya berhubung isu projek terowong tersebut.

“Chow Kon Yeow kata saya perlu menjelaskan bagaimana saya dapat angka RM20 bilion untuk projek terowong dasar laut Pulau Pinang. Saya sudah pun menjelaskannya dan boleh disemak dalam hantaran dalam Facebook saya lima hari lepas. Adakah Chow Kon Yeow buat-buat tak nampak?

“Chow Kon Yeow kata ‘Nilai projek yang Wee Ka Siong dapat ialah RM16.4 bilion lebih tinggi daripada harga yang dinyatakan kerajaan negeri iaitu RM3.6 bilion. Kenapa perlu debat? Ia tidak membantu kerajaan negeri Pulau Pinang untuk menjimatkan apa-apa’,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *