Wow. Sememangnya Jho Low adalah peminjam yang sungguh baik, bukan begitu? Tidak mendesak anda bayar balik, tidak juga beri ancaman kepada anda. Bagus betul Jho Low ini – Shafee

Share


1MDB: Saksi pinjam US$200,000 dari Jho Low urusan beli rumah RM1.85 juta

Datuk Amhari Efendi Nazaruddin terdiam seketika apabila semasa pemeriksaan balas tentang pinjaman yang diberikan oleh Low Taek Jo atau Jho Low sebanyak AS$200,000 (RM839,000) kepadanya pada 2010.

Malah ketua pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Razak, iaitu Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengemukakan pertanyaan kepada Amhari mengapa pinjaman daripada Jho Low itu tidak dimasukkan dalam penyataan saksinya.

Sebaliknya, saksi kelapan prosiding kes 1Malaysia Development Berhad itu dikatakan lebih ‘berminat’ untuk memberi keterangan tentang betapa terkejutnya beliau apabila dimaklumkan sejumlah US$884,996.78 ada di dalam akaun BSI Switzerland miliknya pada awal 2016 yang mana akaun itu dibuka atas arahan Teak Jho Low pada 2016.

Amhari mendakwa beliau telah cuba membuat pinjaman di beberapa bank termasuk Bank Negara Malaysia (BNM) namun tidak berjaya tetapi Jho Low tampil memberi bantuan bagi urusan jual beli rumah di Kota Damansara yang bernilai RM1.85 juta.

Shafee: Mengapa pinjaman sebanyak AS$200,000 itu kamu tidak masukan dalam penyataan saksi semalam?

Amhari: Mungkin terlepas pandang.

Shafee: Tetapi anda menerangkan pula tentang baki akaun sebanyak AS$884,996 dalam akaun bank BSI milik kamu?

Amhari: Ya.

Shafee: Bila kamu minta bantuan ini daripada Jho Low?

Amhari: Pada 2010, sebelum itu saya ada minta dari tempat lain juga tetapi tidak berjaya, hanya Jho Low tampil berikan pinjaman tersebut.

Shafee: Mengapa pinjaman ini dibuat oleh kamu pada ketika itu?

Amhari: Untuk urusan jual beli rumah, saya hendak jual rumah lama dan beli rumah baru juga di Kota Damansara, untuk urusan itu saya perlukan wang tersebut.

Shafee: Ada anda bayar balik wang itu kepada Jho Low?

Amhari: Saya cuba bayar balik tetapi urusan jualan rumah lama itu tidak berjaya. Lagipun Jho Low juga tidak mendesak saya pulang balik, sebaliknya ambil masa dan bayar perlahan-lahan. Saya juga tawarkan rumah lama saya itu kepadanya sebagai bayaran balik kerana hanrganya lebih kurang sahaja.

Shafee: Wow. Sememangnya Jho Low adalah peminjam yang sungguh baik, bukan begitu? Tidak mendesak anda bayar balik, tidak juga beri ancaman kepada anda. Bagus betul Jho Low ini.

Amhari tidak memberikan apa-apa reaksi ketika Shafee Abdullah berkata demikian.

Shafee: Adakah anda tahu, anak tiri Najib, Riza Aziz yang juga kawan kepada Jho Low pernah meminjam wang daripada Jho Low dan telah membayar balik?

Amhari: Saya hanya tahu melalui bacaan laporan media sahaja.

Shafee: Siapa lagi rapat dengan Jho Low? Kamu atau Riza Aziz?

Amhari: Saya tidak tahu dan saya tidak rapat dengan Jho Low.

Shafee: Baiklah, mengapakah wang pinjaman AS$200,000 itu tidak sepenting AS$800,000 dalam penyataan kamu?

Amhari: Pinjaman itu saya telah beritahu ketika penyiasatan SPRM.

Shafee: Tetapi dalam penyataan saksi, kamu tidak ada pula, mengapa?

Amhari: Ini adalah kenyataan saya selepas beberapa bulan kepada SPRM, mungkin itu sebabnya .

Shafee: Adakah kamu beritahu SPRM tentang aset-aset yang dimiliki oleh kamu?

Amhari: Saya telah isythiharkan kesemuanya kepada SPRM, antaranya dua buah rumah di Kota Damansara, dua rumah studio di Puteri Harbour di Johor. Saya sudah beritahu kepada SPRM.

Shafee: Kamu ada aset di luar negara seperti UK dan Australia?

Amhari: Tidak. Tidak ada.

Shafee: Adakah kamu sendiri yang tawar diri untuk beri keterangan wang sebanyak AS$800,000 dalam akauan BSI kepada SPRM?

Amhari: Saya tidak ingat.

Shafee: Saya cadangkan anda telah disoal secara terus dan itu juga antara yang pertama disoal?

Amhari: Tidak, itu bukan antara yang ditanya kepada saya.

Shafee: Saya juga cadang kamu terkejut dengan soalan-soalan daripada SPRM tentang perkara itu?

Amhari: Tidak benar. Saya tidak terkejut.

Dalam pada itu, Shafee juga menyoal seandainya Suruhanajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ada membekukan asetnya namun dinafikan Amhari yang kemudian menyifatkannya antara yang bertuah kerana semua itu tidak berlaku kepadanya.

Shafee: Saya cadangan penyataan saksi kamu telah dibantu dan dirancang oleh SPRM, malah juga telah diajar untuk mengenakan anak guam saya?

Amhari: Saya tidak setuju.

Shafee: Anda tidak terancam dengan SPRM? Tidak rasa terancam sehingga kebenaran itu tidak keluar?

Amhari: Tidak langsung, saya telah dilayan dengan baik ketika berada dalam lokap SPRM, cumanya lokap terakhir itu dikatakan berhantu (dalam nada berseloroh).

Perbicaraan akan bersambung selepas makan tengah hari sebentar lagi. –MalaysiaGazette



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *