Rombakan Kabinet: Saifuddin ke KDN, Guan Eng?

Share


Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dikhabarkan akan berpindah ke Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yasin dalam rombakan Kabinet yang bakal diumumkan oleh Perdana Menteri.

Menurut sumber, dalam rombakan itu, Lim Guan Eng bakal digugurkan daripada Kementerian Kewangan dan berpindah ke portfolio baharu.

Bagaimanapun, portfolio yang akan dipegang oleh Muhyiddin dan Guan Eng selepas ini tidak dinyatakan.

Pada minggu lalu, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengakui mungkin berlaku perubahan kecil portfolio menteri, tetapi menegaskan tiada pelantikan menteri baharu untuk menganggotai Kabinet.

Sebelum ini khabar angin mengatakan Perdana Menteri mungkin akan melakukan rombakan dalam barisan Kabinetnya selepas Hari Raya Haji.

Malah ada yang meramalkan rombakan itu akan membabitkan pelantikan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke dalam Kabinet.

Bagaimanapun Dr. Mahathir dalam penjelasannya memberitahu, perubahan portfolio itu jika berlaku hanya pada skala kecil dan tidak membabitkan pelantikan baharu.

Penjelasan Dr. Mahathir pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu sekali gus menamatkan spekulasi bahawa Anwar akan menyertai Kabinet. – UTUSAN ONLINE



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *