Peperiksaan UPSR 2019 bermula hari ini

PUTRAJAYA 4 Sept.- Sebanyak 445,641 murid tahun enam di seluruh negara hari ini mula menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2019.

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, beliau mendapati perjalanan UPSR setakat ini berjalan lancar dan berharap keadaan itu berterusan sehingga peperiksaan berakhir.

“Daripada tinjauan tadi, saya dapati para ibu bapa yang lebih cemas dan tertekan daripada anak-anak, maka saya nasihatkan mereka jangan terlalu begitu dan menekan murid-murid.

“Yang penting adalah galakkan mereka membaca dan berusaha menjawab peperiksaan dengan baik dan paling penting sekali beri sarapan anak-anak sebelum keluar rumah menuju ke dewan peperiksaan,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan UPSR 2019 di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 8 (1) di sini hari ini.

Pada masa sama, Maszlee menambah, UPSR merupakan salah satu komponen pentaksiran sekolah untuk mengukur pencapaian proses pembelajaran murid sekolah rendah.

Katanya lagi, tiga komponen pentaksiran lain antaranya adalah Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) serta Pentaksiran Psikometrik (PPsi).

“Dan kalau kita lihat pentaksiran UPSR ini adalah sebahagian penilaian yang lebih komprehensif,” katanya.

UPSR 2019 yang dijalankan bermula hari ini sehingga 12 September di 8,076 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Calon sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan membabitkan 434,177 orang, manakala sekolah swasta seramai 11,464 orang.

Seramai 53,242 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar seperti dijadualkan.-UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker