Gagasan Sejahtera, BN perlu pelawa Putra sertai penyatuan Ummah

KUALA LUMPUR 3 Sept. – Pucuk pimpinan Gagasan Sejahtera dan Barisan Nasional (BN) wajar mempelawa Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) untuk sama-sama menyertai gagasan Perpaduan Ummah.

Ketua Bahagian Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Aliff Tafid berkata, tindakan itu perlu supaya ia dilihat lebih kukuh dalam usaha menyatukan bangsa Melayu dan parti Melayu di negara ini.

“Sekiranya hal itu dialu-alukan oleh pucuk pimpinan, ianya baik dalam konteks menyatukan bangsa Melayu Islam.

“Saya meminta Presiden Putra, Datuk Dr. Ibrahim Ali supaya berjiwa besar untuk menyertai Perpaduan Ummah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Penghujung bulan lalu, Ikatan dan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) bersetuju menyertai Gagasan Sejahtera yang dipimpin Pas bagi menjayakan kerjasama politik antara parti Islam itu dengan UMNO.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini dilaporkan berkata, Ikatan dan Berjasa menyertai kerjasama politik Melayu itu melalui Gagasan Sejahtera untuk membentuk Perpaduan Ummah.

Menurutnya, gabungan pembangkang itu menerima kerjasama politik penyatuan ummah antara Pas dan UMNO yang dibuat atas kerangka taawun siyasi.

Kata Aliff, gandingan kerjasama ini bertunjangkan hala tuju dan matlamat yang sama, dengan perjuangan yang digariskan dalam Perlembagaan parti tersebut. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker