Tuduh Gabungan UMNO-PAS Sebagai Rasis Satu Tuduhan Jahat… Tunggu 14 Sept Ini – Dr Shamsul

Ketua Penerangan UMNO Malaysia Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Tun Dr. Mahathir Mohamad kononnya gabungan UMNO dan PAS akan menjurus kepada perkauman dan rasis adalah satu tuduhan yang sangat jahat.

Jelas beliau, bagi membuktikan kenyataan Tun tersebut tidak benar sama sekali maka orang ramai tanpa mengira bangsa harus hadir ke program Himpunan Ummah pada 14 September nanti kerana ada sesuatu yang hebat bakal diumumkan.

“Saya ingin menyatakan dengan jelas di sini, walaupun Tun kata bahawa gabungan dua parti Islam terbesar ini akan menjurus kepada perkauman dan rasis, tapi ini tidak benar sama sekali malah tuduhan itu sangat jahat…

“Sebab itu datanglah pada 14 September nanti di PWTC, akan ada sesuautu yang sangat hebat yang akan diumumkan nanti,” ujar beliau ketika berucap dalam program Jelajah Ceramah Umum Sempena Himpunan Penyatuan Ummah #HPU914 peringkat Wilayah Persekutuan di Cheras, Isnin malam.

Tambah Shamsul, perhimpunan tersebut bukanlah hanya untuk UMNO dan PAS tetapi adalah untuk semua rakyat Malaysia.

“Sebab itu kita buat ‘roadshow’ untuk ajak semua tidak kira siapa. Program ini juga akan dijayakan oleh rakan-rakan komponen dalam Barisan Nasional (BN).

“Jadi datang dan dengar sendiri apa yang akan kita umumkan nanti,” ujar beliau lagi.

Dalam ucapannya Shamsul Anuar turut mendedahkan bagaimana keserasian antara ke dua-dua parti ini begitu terserlah.

“Bila nak merangka piagam yang akan ditandatangani 14hb nanti, UMNO rangka piagam mereka… begitu juga dengan PAS rangka piagam mereka untuk dibentangkan dalam mesyuarat. Bagaimana hebatnya kita, 99 peratus yang dirangka hampir sama.

“Ini apa maknanya? Maknanya, cita-cita, roh, semangat dan iltizam UMNO dan PAS adalah sama iaitu mahu bangkit semula membela agama Islam, Melayu, Bumiputera dan menjaga kepentingan kaum lain dalam negara ini,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker