PH punca ketegangan kaum, ketidaktentuan politik – Najib

Najib Razak hari ini menyelar Pakatan Harapan (PH) dengan mendakwa gabungan kerajaan itu menjadi punca semakin meruncingnya masalah perkauman tetapi bertindak menyalahkan Umno dan Barisan Nasional (BN).

Dalam satu hantaran di Facebook, bekas perdana menteri itu berkata, peningkatan sentimen perkauman dan ketidaktentuan politik adalah antara 5 risiko besar yang dihadapi negara hari ini.

Beliau menyebut beberapa isu yang menyaksikan anggota PH atau pemimpinnya saling bercanggah antara satu sama lain, seperti isu pengenalan tulisan khat di sekolah.

“Yang perkenalkan pelajaran khat kerajaan PH, yang bantah khat DAP dan PKR. Yang gelar Dong Zong rasis dan mahu (ia) diharamkan PM ke-7 (Dr Mahathir Mohamad). Yang pertahankan Dong Zong, DAP dan PKR.”



Beliau juga berkata, Menteri Beliau dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pernah membantah penceramah kontroversi Dr Zakir Naik, tetapi beliau juga yang menyokong warga India itu kemudiannya.

Terdahulu Syed Saddiq menggesa supaya Naik dihantar pulang ke India kerana dilaporkan berkata, orang Cina di Malaysia boleh dianggap sebagai “tetamu”, tetapi selepas tu menggesa rakyat supaya “melangkah ke depan” setelah Mahathir menolak ekstradisi Naik.

“Kerajaan PH nak salahkan Umno dan BN yang timbulkan isu, sedangkan mereka sendiri yang sering menimbulkan kontroversi perkauman.

“Seolah-olah semangat 1Malaysia, semangat perpaduan antara bangsa dan agama tidak wujud lagi,” katanya dengan menambah bahawa skandal melibatkan pemimpin PH dan perbalahan dalaman pakatan politik itu menyumbang kepada ketidakstabilan politik di Malaysia.



Selain itu Najib berkata, 4 risiko lain yang dihadapi negara adalah risiko sekatan ekonomi atau pengenaan tarif ke atas ekonomi Malaysia oleh Amerika Syarikat, harga minyak mentah jatuh di bawah AS$30 satu tong, pertambahan hutang kerajaan dan naratif salah mengenai ekonomi negara.

Najib berkata, AS telah menyenaraikan Malaysia daripada 9 negara dalam senarai manipulator mata wang, sementara peningkatan kebergantungan kepada minyak, terutamanya selepas cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dihapuskan, boleh membawa kesan buruk kepada negara sekiranya harga minyak dunia jatuh ke bawah AS$30 satu tong.

Berhubung hutang negara, Najib berkata, had nisbah hutang kerajaan kepada KDNK adalah pada paras 55% dan pada suku pertama 2018, ia mencapai angka 48.7%.

“Akan tetapi nisbah ini terus naik dengan ketara setiap suku (tahun) dan kini sudah menjadi 52.7% pada akhir suku ke-2 dan diunjur oleh kerajaan PH akan melebihi 53% pada akhir tahun ini.”



Najib berkata, naratif salah, termasuk hutang negara RM1 trilion, bayaran balik GST “dirompak” dan mengambil kira penjualan aset sebagai pelaburan asing boleh menggugat kepercayaan pelabur.

FMT

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker