Kongsi harapan, aspirasi, impian jadikan Malaysia lebih baik

Rakyat Malaysia akan meraikan Hari Kebangsaan ke-62 pada 31 Ogos 2019 yang jatuh pada hari Sabtu ini.

Apabila merayakan Hari Kemerdekaan ini, apa yang perlu kita fikirkan adalah tiga elemen penting yang dapat membantu kita menjadi negara yang lebih baik – patriotisme, perpaduan dan integriti.

Ia selaras dengan tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini iaitu “Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih” yang menekankan kepentingan perpaduan dan patriotisme demi kesejahteraan rakyat serta kemakmuran negara. Tema tersebut juga bertujuan memupuk integriti dan amalan murni dalam kalangan rakyat Malaysia.

Kita boleh mengdefinisikan patriotisme sebagai perasaan cinta dan hormat terhadap tanah air. Ia adalah perasaan bangga secara semulajadi terhadap negara yang mendorong kita untuk bekerja keras demi pembangunan negara, perlindungan warisan dan kebudayaan serta menjaga negara daripada dimusnahkan oleh anasir luar atau dalaman.

Seorang bekas ahli politik Amerika Syarikat, Adlai Stevenson pernah berkata: “Patriotisme bukanlah cetusan emosi meluap-luap dalam tempoh yang singkat, tetapi dedikasi perasaan cinta yang bertahan sepanjang hayat.

Ini bermakna patriotisme adalah dedikasi dan pengorbanan seumur hidup untuk negara tercinta.

Patriotisme juga merupakan rasa kepunyaan bersama yang menyatukan kita semua. Ia biasanya dilambangkan dengan mengibarkan bendera dan menghormati lagu kebangsaan.

Kita harus ingat bahawa di bawah satu bendera inilah Malaysia mencapai kemerdekaan dan membina kehidupan harmoni tanpa mengira bangsa, warna atau kepercayaan. Di bawah Jalur Gemilang juga, kita telah berusaha untuk membina negara yang mampan untuk generasi masa depan.

Tetapi kita juga harus faham bahawa masa telahpun berubah dan rakyat kita, terutamanya generasi muda mungkin lebih suka meluahkan semangat patriotik mereka di alam maya. Oleh itu, lebih banyak Jalur Gemilang dapat dilihat di media sosial pada masa kini.

Mengibarkan Jalur Gemilang bukanlah satu-satunya cara untuk mengekspresikan patriotisme seseorang.

Patriotisme boleh datang dalam pelbagai bentuk. Apabila kita bercakap untuk mempertahankan negara kita, ia adalah satu tindakan patriotik.

Kita juga bersemangat patriotik apabila menahan diri daripada melakukan perbuatan vandalisme ke atas harta awam atau tidak membuang sampah di tempat awam secara sengaja. Begitu juga apabila kita menyumbang ke arah menjadikan komuniti kita bebas daripada jenayah dan rasuah atau melindungi dan memulihara alam sekitar.

Rakyat Malaysia boleh menyerlahkan semangat patriotisme mereka menerusi kata-kata, buah fikiran dan tindakan mereka demi kepentingan dan pembinaan negara. Menjadi patriotik juga bermakna kita sanggup menyumbangkan pandangan dan pendapat ikhlas di dalam bidang yang boleh membawa kebaikan kepada negara.

Patriotisme perlu disemai ketika zaman kanak-kanak kerana jika mereka menyayangi tanah air, anak-anak kita akan membesar dengan menghargai warisan, kepelbagaian dan sejarah kita dan berusaha memperbaiki Malaysia dalam semua aspek.

Patriotisme boleh disemai dalam kalangan pelajar melalui kempen kesedaran, pendidikan dan ilmu pengetahuan. Sistem pendidikan harus disesuaikan untuk memupuk perasaan bangga dan kepunyaan dalam kalangan generasi muda.

Selepas 62 tahun merdeka, rakyat Malaysia seharusnya memberi tumpuan kepada soal integriti yang boleh membantu menghentikan seseorang daripada terlibat dalam rasuah. Kita tidak boleh bertolak ansur dengan rasuah dan membiarkannya menjadi budaya dalam masyarakat kita, terutama dalam kalangan generasi muda.

Integriti dan nilai-nilai murni harus disemai dalam kalangan generasi muda semasa mereka masih bersekolah. Ia dapat membantu memupuk budaya kejujuran dan amanah agar menjadi cara hidup para pemimpin masa depan.

Kita boleh membantu meningkatkan patriotisme dan integriti jika kita sanggup untuk meningkatkan perpaduan dan berkongsi harapan, aspirasi dan impian yang sama untuk Malaysia yang lebih baik.

Pembinaan bangsa dan negara Malaysia tidak akan bererti jika rakyat, khususnya generasi muda, tidak diterapkan dengan nilai-nilai yang murni seperti patriotisme dan integriti.

Matlamat utama kita bukan semata-mata mahu menjadikan Malaysia sebuah negara perindustrian sepenuhnya dari sudut ekonomi tetapi juga memastikan ia dibangunkan dari semua aspek termasuk alam sekitar, moral dan etika.

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

* Penulis ialah Pemegang Amanah Yayasan Perpaduan Malaysia

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker