Abdul Hadi, Tokoh Maal Hijrah Terengganu

KUALA TERENGGANU 1 Sept. – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, 72, hari ini dianugerahkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Terengganu dalam majlis sambutan Maal Hijrah 1441H yang berlangsung di Stadium Negeri di sini.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menerima wang tunai RM10,000 di samping tajaan umrah, set persalinan, piala dan sijil penghargaan yang disampaikan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.

Sebagai tokoh ulama dan pemimpin gerakan Islam terkemuka termasuk di peringkat antarabangsa, beliau tidak pernah mengenal penat dalam memberi khidmat bakti kepada masyarakat di samping terus mengembleng tenaga dan fikiran demi menyebar serta memanfaatkan ilmu pengetahuan dan pengalamannya kepada umat Islam di negeri ini mahu pun Malaysia.

Bekas Menteri Besar Terengganu itu juga banyak memberi sumbangan kepada pembangunan negara khususnya kepada negeri ini sejak dahulu lagi.

Sehingga kini beliau telah menghasilkan 108 buah karya antaranya Kuliah Tafsir Al-Baqarah, Muqaddimah Aqidah Muslimin dan Islam Memimpin.

Turut berangkat dalam majlis itu, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah dan anakanda baginda, Tengku Muhammad Ismail, Tengku Muhammad Mua’az dan Tengku Fatimatuz Zahra’.

Yang hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, Toh Puan Seri Tuan Faizah Tuan Abdul Rahman; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Yahaya Ali; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Zahari Md. Azahar dan barisan kepemimpinan kerajaan.

Abdul Hadi ketika ditemui pemberita menzahirkan rasa syukur kepada Allah SWT atas penganugerahan yang sama sekali tidak dijangka itu.

“Junjung kasih kepada Tuanku Sultan Terengganu dan terima kasih kepada kerajaan negeri serta semua pihak atas penghargaan ini,” katanya selepas majlis.

Dalam majlis itu, Sultan Terengganu turut berkenan menyampaikan 13 lagi anugerah untuk pelbagai kategori.

Masjid Kerajaan Terbaik dianugerahkan kepada Masjid Tengku Mizan Zainal Abidin di Kemaman sekali gus menerima wang tunai RM8,000 diikuti Masjid Kampung Batu 2 1/2 juga di daerah sama dipilih Masjid Mukim Terbaik dan Surau Terbaik (Surau Al-Hijrah, Kampung Hulu Takir di Kuala Nerus).

Anugerah Keluarga Mithali diraih Alisah Mohamad dari Kampung Semanyor, Kemasik di Kemaman manakala Zaimah Sulong (Keluarga Tunggal Mithali), Nur Zalea Jasmin Abdullah (Aktivis Saudara Kita), Ngah Yusof (Imam Cemerlang) dan Mohamad Md. Ali (Bilal Cemerlang).

Penerima Anugerah Tokoh Hafizah diberikan kepada Radhiah Ab. Rahman di samping Dr. Mohd. Hamdan Muhamed (Tokoh Dakwah), Ahmad Safuan Nizam Kamarudin (Tokoh Orang Kelainan Upaya), MGV Industries Sdn. Bhd. (Premis Halal Terbaik) dan Muhamad Muda muncul pemenang Kembara Warisan Kayuhan Hijrah 2019. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker