Piagam UMNO-Pas bagaikan kemerdekaan kali kedua

Pas menyifatkan piagam UMNO-Pas yang akan dimeterai pada 14 September ini ibarat kemerdekaan kali kedua buat orang Melayu selepas mereka bagaikan dijajah kembali kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas 9 Mei 2018.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, kesan daripada kemenangan PH dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) itu menyebabkan nasib orang Melayu dan Islam terancam.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan Pas dan UMNO sepakat membentuk percantuman besar dengan menandatangani piagam pada 14 September nanti.

“Kalau 31 Ogos tahun 1957 pimpinan kita pada masa itu telah menandatangani perjanjian kemerdekaan negara, bagi saya 14 September 2019 adalah pementeraian piagam muafakat nasional untuk kemerdekaan pada kali kedua selepas kita dijajah kembali oleh satu kerajaan pada 9 Mei 2018 yang lalu.

“Itulah sebenarnya hakikat, kita dijajah semula. Kalau tidak, tidak begini nasib yang dialami orang Melayu, umat Islam yang menjadi rakyat majoriti di dalam tanah Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Melayu Bangkit Penyatuan Ummah 2,0 sempena Sambutan Hari Kemerdekaan 2019 di Dataran Dewan Besar, Pekan Rabu, Sungai Manik, di sini semalam.

Program dihadiri Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan; Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Tun Razak; Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman selaku penganjur program serta beberapa pimpinan tertinggi UMNO dan Pas.

Menurut Takiyuddin, orang ramai diajak beramai-ramai ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur sempena majlis memeterai piagam UMNO-Pas pada 13 hingga 14 September ini.

Beliau berkata, ini bagi memberikan sokongan terhadap penyatuan dua parti Melayu terbesar itu.

“Semua yang hadir akan memakai pakaian berwarna putih dan membanjiri PWTC dan kawasan sekitarnya,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker