Pemuda UMNO, Pas, MCA, MIC bersatu bukti Perpaduan Ummah tidak rasis

Share


Gabungan Pemuda UMNO, Pas, MCA dan MIC di atas satu pentas ceramah buat pertama kalinya di sini malam tadi membuktikan bahawa gagasan Perpaduan Ummah tidak rasis sebagaimana yang dilabelkan oleh sesetengah pihak.

Ketua Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, malah Pemuda MCA dan MIC menyatakan persetujuan untuk seganding menjelajah ke seluruh negara untuk menyampaikan penerangan kepada rakyat.

“Kerjasama untuk memberi penerangan bahawa gabungan penyatuan UMNO Pas bukan satu menggugatkan ketenteraman negara dan tidak boleh dilabelkan sebagai ‘Taliban’.

“Usaha kita untuk membentuk keyakinan rakyat membina negara bangsa yang sejahtera tanpa perkauman dan ini ditakuti setengah pihak yang khuatir kemungkinan kedudukan politik mereka akan goyah selepas rakyat menyedari keupayaan mereka membina negara dan membela nasib rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Penyatuan Ummah Empat Ketua Pemuda Pusat Berceramah di Dataran Ilmu, dekat sini, malam tadi.

Yang turut menyampaikan ceramah ialah Naib Ketua Pemuda Pas Pusat, Afnan Hamimi Taib; Naib Ketua Pemuda MCA Pusat, Chua Hock Kuan dan Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, Thinalan a/l Rajagopalu.

Yang hadir sama ialah barisan kepimpinan Pemuda negeri dan daerah daripada keempat-empat parti terbabit.

Asyraf Wajdi berkata, gerakan perjuangan empat kepimpinan pemuda dalam satu saf perjuangan tidak akan terhenti di daerah ini tetapi akan menjelajah ke seluruh negara bermula dengan negeri Johor selepas ini.

“Di sini (Pasir Puteh) adalah sebagai satu permulaan. Tema utama ‘Selamatkan Negaraku’ untuk menyampaikan mesej kepada rakat untuk kembalikan cita negara sebagaimana asalnya.

“Kita tidak mahu keruncingan dan haru biru berkaitan budaya dan agama dijadi modal untuk menyemarakkan api perkauman terutama dalam kalangan pemimpin DAP yang melihat sesuatu perkara dan insiden dalam tafsiran yang sempit,” katanya. – UTUSAN ONLINE



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *