Bersara politik drama berulang Kit Siang

Hasrat Lim Kit Siang untuk bersara daripada politik adalah ‘drama’ berulang Penasihat DAP berkenaan setiap kali DAP berdepan krisis keyakinan daripada penyokongnya.

Aktivis politik yang juga bekas ahli DAP, Rahmad Isahak berkata, hasrat itu tidak perlu dipandang serius kerana sebagai ‘de factor leader’ di dalam DAP, Kit Siang akan terus mencari sokongan politik untuk parti tersebut khususnya dalam kalangan masyarakat Cina.

Beliau mendakwa, hasrat Kit Siang untuk bersara itu disuarakan kerana melihat kepada perkembangan sokongan masyarakat Cina terhadap DAP yang terjejas disebabkan sikap pemimpin parti tersebut ketika ini.

Malah, tambah beliau, pendirian seperti ‘yo-yo’ itu juga bukan asing buat Kit Siang yang sebelum ini pernah membuat ancaman DAP sanggup keluar daripada Pakatan Harapan sekiranya objektif Malaysia baharu dipinggirkan.



“Rakyat khususnya kaum Cina dapat menghidu wujud kebarangkalian perasaan malu serta kecewa Kit Siang atas kegagalan DAP mempengaruhi kerajaan dalam beberapa isu termasuk ICERD; penceramah Dr. Zakir Naik serta pelantikan jawatan Perdana Menteri kelapan.

“Ini menyebabkan beliau berasakan tidak selamat lagi berada di dalam situasi geopolitik Malaysia baharu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Kit Siang melontarkan pertanyaan dalam blog rasminya sama ada beliau perlu melupakan impian satu Malaysia Baharu dan bersara selepas lebih lima dekad bergelumang dalam politik ekoran keyakinan dalam kalangan penyokong yang dikatakan semakin menurun.

Dalam pada itu, Rahmad berkata, Kit Siang tidak lagi perlu teragak-agak untuk bersara daripada politik sekiranya mahu mengambil tanggungjawab daripada apa yang disifatkan kegagalan Malaysia baharu tersebut dan sewajarnya mengundurkan diri secara bermaruah. – UTUSAN ONLINE



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker