Belum ada tempat untuk Anwar lagi – Mahathir

Share

Tun Dr. Mahathir Mohamad membayangkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan menjadi sebahagian daripada anggota Kabinet apabila beliau membuat perubahan kecil dalam portfolio jemaah menteri tidak lama lagi.

Perdana Menteri memberitahu, tidak akan ada pelantikan menteri baharu melainkan terdapat anggota Kabinet yang meletakkan jawatan.

“Kita tidak bincang perubahan atau pertambahan anggota Kabinet, memandangkan tiada yang mahu meletakkan jawatan. Buat masa ini tiada tiada kekosongan, jika ada kita akan cari calon yang sesuai,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di sini, hari ini.


Perdana Menteri berkata demikian ditanya sama ada Kabinet ada membincangkan lebih lanjut mengenai pertukaran portfolio menteri dan usaha membawa masuk Anwar ke dalam Kabinet.

Minggu lalu, Dr. Mahathir menegaskan, tiada menteri baharu akan menganggotai Kabinet, sebaliknya mungkin berlaku pertukaran kecil portfolio menteri.

Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu menambah, mesyuarat hari ini tidak membincangkan mengenai pertukaran portfolio yang bakal dilaksanakan itu.


“Mesyuarat parti juga tidak membincangkan perkara itu, “katanya.

Sementara itu, Dr. Mahathir menegaskan, penggunaan perkataan ‘paria’ oleh beliau pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Persidangan Pelancongan Dunia (WTC) 2019 di Kuala Lumpur baru-baru ini tidak ditujukan kepada sesiapa.

“Saya tidak tujukan kepada sesiapa. Siapa yang satu tujukan? (ketika menyebut perkataan itu,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, hari ini.


Dr. Mahathir sebelum ini dilaporkan sebagai berkata, kilang memproses nadir bumi, Lynas Corporation Ltd. (Lynas) tidak boleh dilayan seperti kasta rendah atau ‘paria’ dan diarahkan memberhentikan operasi di negara ini.

Menurut Perdana Menteri, tindakan sedemikian hanya akan menyebabkan tiada negara lain berminat untuk melakukan pelaburan di negara ini.

Kenyataan itu mengundang bantahan oleh beberapa ahli PKR di Kapar yang membuat laporan polis terhadap Dr. Mahathir kerana menggunakan perkataan sedemikian.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) turut menegaskan bahawa pakatan itu tidak terkeluar dari landasan (stray).

“Itu persepsi orang-orang di luar. Yang penting kita bersatu dan kotakan janji kita,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply