Suami isteri penghidap HIV/AIDS cari sisa makanan dalam tong sampah

MELAKA 28 Ogos – Sepasang suami isteri yang disahkan menghidap HIV/AIDS tampil untuk menyedarkan masyarakat bahawa

betapa sukarnya menghilangkan ketagihan najis dadah sehingga pernah menyelongkar tong sampah bagi mencari sisa

makanan.

Rosli Ismail, 52, yang disahkan menghidap penyakit itu pada tahun 1995 berkata, dia pernah mengutip sisa makanan

dalam tong sampah untuk mengalas perut kerana semua wangnya habis digunakan untuk membeli dadah.

“Semua jenis dadah – ganja, candu mentah, heroin, ekstasi semua saya pernah cuba selepas habis sekolah pada tahun

1986 semata-mata kerana ingin mencuba menyebabkan saya ketagih.

“Saya juga pernah masuk penjara 11 kali, pernah dua jam selepas keluar penjara saya ditangkap semula, dirawat di

pusat serenti empat kali dan melakukan jenayah termasuk mencuri selipar di masjid bagi mencari wang untuk membeli

dadah,” katanya yang bebas daripada dadah sejak lapan tahun lalu, ketika ditemui di Seri Negeri di sini semalam.

Sidang akhbar bagi mewujudkan kesedaran kepada penagih dadah itu diatur oleh Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan

Anti Dadah negeri, Low Chee Leong dan turut dihadiri Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Melaka, Nazir

Mohamad dan Pengarah Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Tiang Dua, Zulkifli Mohd. Dom.

Rosli anak kelahiran Jasin, Melaka dan mendapat pendidikan di Singapura reda apabila disahkan menghidap HIV/AIDS

akibat sejarah silamnya itu namun bertekad untuk berubah selepas kematian bapanya pada tahun 1997.

“Saya bergiat dalam kempen pencegahan dadah dengan mengadakan ceramah kesedaran bahaya najis dadah di Johor Bahru,

Johor sebelum bertemu dengan isteri saya, Rahayu Rahmat yang juga menghidap HIV/AIDS dan kami berkahwin pada Ogos

2010,” katanya yang menubuhkan Persatuan Kebajikan Sinar Sofia (Sinar Sofia) bersama isterinya pada 2011 untuk

membantu penghidap penyakit itu dalam kalangan penagih dadah dan pekerja seks.

Hasil perkahwinannya dengan bekas isteri terdahulu, Rosli dikurniakan empat orang anak berusia antara 17 hingga 25

tahun manakala Rahayu juga pernah berkahwin dan mempunyai empat orang anak berusia antara 17 hingga 26 tahun.

Kesemua lapan anak mereka bebas daripada HIV/AIDS.

Menceritakan pengalamannya pula, Rahayu, 49, memberitahu, dia hidup menderita selama enam tahun apabila terpaksa

menjadi pekerja seks akibat `dijual’ oleh bekas suaminya kepada sindiket pelacuran di Johor.

Disisihkan daripada keluarga, wanita kelahiran Johor Bahru dan menerima pendidikan di Singapura itu mengaku

disahkan menghidap HIV/AIDS pada tahun 2004 akibat dijangkiti oleh bekas suaminya yang merupakan penagih dadah

tegar.

“Saya berkahwin dengan bekas suami pada tahun 1991 namun tidak tahu dia adalah penagih dadah. Disebabkan hutang

keliling pinggang, dia `menjual’ saya kepada ibu ayam untuk melunaskan hutang.

“Sepanjang enam tahun saya menderita, terpaksa melayan lelaki yang saya tidak kenal dan ketika itu saya dan empat

anak saya hidup susah sehingga terpaksa mencuri roti dari kedai untuk dimakan bersama,” katanya yang kecewa apabila

segelintir masyarakat menuduh pesakit HIV/AIDS wanita layak menderita akibat perbuatan mereka sedangkan ada dalam

kalangan mereka yang teraniaya.

Rahayu bersyukur kerana dia dipertemukan dengan suaminya kini dan mereka berdua insaf serta bebas daripada najis

dadah dan cuba menyedarkan orang ramai agar tidak sesekali terjerat dengan penagihan dadah yang boleh membawa maut.

Pesanan Rahayu kepada masyarakat agar terhindar daripada najis dadah dan HIV/AIDS adalah kenali pasangan anda

sebelum mendirikan rumah tangga dan masyarakat perlu memberi ruang kepada pesakit seperti mereka untuk kembali

menjadi insan berguna. – UTUSAN ONLINE

Bekas penagih dadah kini rawat pesakit Covid-19 harapkan peluang kedua

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker