Pahang Skills tapis tender, projek

KUANTAN 28 Ogos – Pusat Pembangunan Kemahiran Pahang (Pahang Skills) akan menapis projek dan tender melibatkan pelbagai pihak yang berurusan dengan institusi itu selaras dengan usaha memperkukuh akauntabiliti serta integriti dalam pentadbirannya.

Pengerusi Pahang Skills, Datuk Mas’ut Awang Samah berkata, institusi berkenaan menapis semua sebut harga tender bagi memastikan pembekal, kontraktor dan perunding tidak menawarkan sebarang bentuk rasuah kepada pegawai dan kakitangannya.

“Bagi memastikan semua pihak yang berurusan dengan Pahang Skills bebas, kita akan membuat pengesahan sebagai garis panduan yang ditetapkan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pengukuhan Intergriti dan bacaan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Pahang Skills 2019 di Dewan Utama Pahang Skills di sini semalam.



Yang hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia,Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan negeri, Datuk Seri Mohd. Johari Hussain; Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri, Mohamad Fauzi Husin dan Pengarah Eksekutif Pahang Skills, Suris Mihat.

Seramai 87 kakitangan dan 500 penuntut Pahang Skills melafazkan IBR pada majlis itu.

Sementara itu, Mohd. Johari berkata, lBR memberikan impak besar kepada sesuatu organisasi dalam jangka masa panjang.

“Rasuah bukan fenomena baharu kepada kita dan ia wajar dibendung dari sekarang kerana berdasarkan trend rasuah di negara ini untuk tempoh lima tahun iaitu pada 2013 hingga 2018, sektor awam dilihat sebagai sektor yang paling berisiko terhadap amalan tersebut.



“Justeru, di bawah Pelan Anti Rasuah Nasional, beberapa pelan strategi pengukuhan telah disusun antaranya memperkukuh akuantabiliti dan integriti politik, memastikan ketelusan dan akuantabiliti dalam pentadbiran kerajaan serta memperkukuh kecekapan penyampaian awam,” katanya.

Selain itu, beliau turut memuji tindakan Pahang Skills dalam mendepani gejala rasuah dengan menganjurkan ceramah SPRM kepada warga kerja, penuntut dan pembekal dalam usaha memerangi gejala rasuah. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker