Lelaki ditahan rakam wanita di dalam tandas kafe

BUKIT MERTAJAM 28 Ogos – Seorang peniaga ikan ditahan selepas disyaki merakam gambar dan video seorang wanita yang sedang menggunakan tandas di sebuah kafe di Juru, dekat sini Ahad lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 11 malam itu, suspek berusia 33 tahun dikatakan merakam gambar dan video seorang pelajar wanita berusia 21 tahun dari bahagian atas pembahagi tandas di kafe berkenaan.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid, perbuatan suspek itu bagaimanapun disedari mangsa yang melihat tangan suspek yang memegang telefon bimbit berwarna hitam sebelum mangsa menjerit disebabkan terkejut.

Tambahnya, jeritan mangsa didengari oleh rakannya yang sedang menunggu untuk menggunakan tandas sebelum rakannya itu bertindak menghadang pintu tandas lelaki yang terletak bersebelahan.

“Mereka kemudiannya mendapatkan bantuan pekerja kafe itu dan sebaik sahaja suspek keluar, mereka bertindak memeriksa telefon bimbit lelaki berkenaan.

“Bagaimanapun, pemeriksaan bagaimanapun tidak menemukan gambar atau video mangsa di dalam telefon bimbit mangsa namun mereka mendapati terdapat gambar mangsa wanita lain yang dirakam di dalam tandas itu tanpa disedari mangsa,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Nik Ros Azhan, mangsa kemudiannya membuat laporan polis dan pemeriksaan juga mendapati suspek turut menyimpan banyak video lucah di dalam telefon bimbitnya.

Tambah beliau, suspek direman selama dua hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker