Golongan sasterawan punca tulisan Jawi terpinggir?

Mungkin ramai tidak tahu sejarah tergugatnya kedudukan tulisan Jawi sebagai khazanah persuratan Melayu di sebalik perdebatan subjek tulisan itu di sekolah vernakular yang bakal dilaksanakan tahun depan.

Seorang novelis dan pengkaji sastera, Mohd. Faizal Musa berkata, Angkatan Sasterawan 50 (Asas 50) membolehkan berlakunya penghijrahan Jawi kepada rumi.

Kata yang lebih dikenali sebagai Faisal Tehrani, penghijrahan itu menyekat perbincangan kritis dalam karya Jawi untuk dibincangkan dalam kalangan masyarakat sehingga kini.

“Maka, tidak menghairankan kalau mereka tidak bersuara dalam hal ini, kerana mereka adalah sebahagian daripada perubahan,” katanya seperti dipetik portal Free Malaysia Today hari ini.

Selepas penghijrahan tersebut, dikatakan kedudukan tulisan jawi sebagai medium utama penulisan Melayu disambut dengan perisytiharan Akta Bahasa Kebangsaan pada 1963.

Tambah Faisal, pada waktu itu wujud tanggapan rumi lebih sesuai dengan konsep Melayu moden dan boleh membawa Tanah Melayu ke hadapan, sedangkan tulisan Jawi dianggap lebih tradisional.

Namun, dakwanya, golongan ini tidak berupaya membezakan apakah itu tradisional yang harus ditinggalkan, berbanding tradisi yang boleh dikekalkan dan dibawa ke hadapan yang kemudiannya menyebabkan warisan tulisan Jawi tergugat.

Asas 50 merupakan gerakan persatuan sastera pertama dan tertua di Tanah Melayu selepas perang. Ditubuhkan pada 6 Ogos 1950 untuk memajukan bahasa dan sastera Melayu sebagai pemangkin mencapai kemerdekaan, keadilan sosial dan kemajuan pemikiran.

Antara pelopor Asas 50 ialah A. Samad Said, Keris Mas, Usman Awang, Hamzah, Masuri SN, Rosmera dan ramai lagi.

Bagaimanapun, seorang pejuang Asas 50, A Samad Said menegaskan, perubahan itu bukan didokong oleh konsep Melayu moden sebaliknya untuk menimba karya kesusasteraan di negara jiran, Indonesia.

“Saya fikir Indonesia agak mempengaruhi. Kita ada pengguna yang sedikit. Di Indonesia, ada berjuta-juta. Jadi kita fikir dengan begitu, kita dapat meresap diri kita ke dalam aliran (kesusasteraan) Indonesia.

“Dan kita mempunyai khazanah buku-buku yang banyak di Indonesia bukannya di Malaysia,” katanya kepada portal berita tersebut.

Ketika ditanya sama ada tindakan Asas 50 itu berjaya memajukan bidang kebangsaan, Samad berkata secara tidak rasmi perubahan itu berjaya.

“Secara tidak rasmi, itu agak berjaya. Tapi tabiat pembacaan itu, buku terlalu banyak di indonesia. Tapi tidak begitu mengalir di sini.

“Bukan kerana ia tak nak mengalir, dia tak ada penyambut,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker