Dunia adalah ujian, jambatan amal

DEMI wang, manusia sanggup bersengkang mata mengorbankan tenaga dan masa, termasuk tanggungjawab terhadap keluarga demi mengumpul bekalan dunia itu.

Sehinggakan ramai terlupa bahawa dunia hanyalah perhiasan bagi menguji tahap keimanan seseorang hamba terhadap Penciptanya

Ini sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Kahfi ayat 7 dan 104 bahawa dunia adalah ujian dan jambatan membaiki amal.

AYAT 7



Firman Allah maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya, kerana kami hendak menguji mereka, siapakah antaranya yang lebih baik amalnya.” (al-Kahfi: 7)

Dalam ayat ini Allah menjelaskan bahawa apa yang dijadikan di muka bumi adalah perhiasan yang bertujuan untuk menguji hamba-Nya, bukan sekadar banyak amalannya tetapi lebih baik dan diterima Allah.

Memahami kepentingan kualiti berbanding kuantiti ini amat penting kerana ia akan mengganggu keyakinan dan keimanan kepada Allah dan hari akhirat.

Mungkin ramai melihat, jika seseorang melakukan perniagaan dan berjaya maka itu adalah kejayaan, manakala jika perniagaannya tidak seberapa, ia dianggap tanda kegagalan.



Pada hakikatnya, apa sahaja yang berlaku di bumi ini adalah untuk menguji seseorang itu untuk membaiki kualiti amalan sebagai persediaan berhadapan dengan Allah SWT.

AYAT 104

Firman Allah maksudnya: “(Iaitu) orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan.” (al-Kahfi: 104)

Dalam ayat ini, Allah mengingatkan tentang orang yang sia-sia amalnya kerana mereka bersegera pada kehidupan dunia dan sentiasa merasakan bahawa betul terhadap apa yang mereka lakukan.



Ini adalah satu perkara yang perlu diberi perhatian agar kita tidak tertipu dengan kuantiti berbanding kualiti sebagaimana yang Allah tekankan pada ayat ke 7.

Biarpun tidak banyak, tetapi kualiti amal kita perlu bertambah dari semasa ke semasa agar diterima oleh Allah.

PENGAJARAN AYAT

1. Kita perlu sedar bahawa dunia ini bukanlah tujuan tetapi jambatan untuk Membaiki kualiti amal



2. Kita tidak mahu diri dan keluarga serta organisasi melakukan sesuatu kesibukan tetapi dikira tidak bermakna di sisi Allah . Cara untuk menilai perkara ini sudah tentu kembali kepada neraca al-quran.

Utusan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker