Beli akhbar, beli iklan Utusan – Pertama

KOTA BHARU 28 Ogos – Persatuan Pengundi Melayu Berdaftar (Pertama) menyeru orang Melayu supaya membeli akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! bagi membantu syarikat akhbar itu yang kini berdepan krisis kewangan.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Mohd. Fared Abdul Ghani berkata, krisis kewangan syarikat penerbitan akhbar harian itu akan stabil dengan bantuan dan sokongan orang Melayu secara keseluruhan.

“Kita harus berasa bertanggungjawab terhadap kemelut yang dihadapi oleh Utusan Malaysia dan Kosmo!, kerana jasa akhbar ini terlalu besar dalam memperjuangkan martabat orang Melayu.

“Kita harus faham sekiranya operasi penerbitan akhbar itu ditutup, sekali gus kita akan kehilangan wadah sejak 80 tahun membawa suara orang Melayu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.



Mohd. Fared juga menyeru golongan usahawan dan korporat agar turut tampil membantu kedua-dua akhbar itu dengan cara membeli iklan.

“Terutama syarikat-syarikat usahawan atau korporat yang kemungkinan sebelum ini pernah mendapat liputan akhbar itu menerusi program-program yang diadakan,” katanya.

Beliau berharap, semangat kesedaran akan subur dalam jiwa masyarakat bagi memastikan syarikat penerbitan akhbar terbabit terus beroperasi melalui pembelian kedua-dua akhbar tersebut.

Dalam pada itu, beliau menggesa pihak berkuasa supaya tidak memberi tekanan terhadap pasaran kedua-dua akhbar berkenaan.



“Sebagai contoh tidak menyekat sebaliknya memberi kebebasan kepada mana-mana jabatan kerajaan atau sekolah untuk melanggan akhbar itu,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker