Tak perlu malu jika indikator baru menunjukkan tahap kemiskinan Malaysia semakin tinggi – Penasihat Ekonomi PM

Share


Penasihat PM: Akui kita miskin

Indikator yang digunakan oleh Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA) untuk mengukur kadar kemiskinan di Malaysia sudah lapuk, kata Penasihat Ekonomi Perdana Menteri, Muhammed Abdul Khalid.

“Kita tidak perlu malu jika indikator baru menunjukkan tahap kemiskinan yang tinggi. Itu adalah fakta, dan untuk menyelesaikan masalah, adalah lebih baik untuk kita menerima kenyataan.

Barulah dengan pantas jalan penyelesaian dapat dicari,” katanya dalam satu artikel yang diterbitkan di Sinar Harian hari ini.

Bekas pengarah Institut Penyelidikan Khazanah itu berkata walaupun pendapatan garisan kemiskinan (PLI) telah berkurangan daripada 50 peratus sejak tahun 1957, ukuran mutlak kemiskinan tidak lagi boleh digunakan.

Muhammed berkata penggunaan PLI oleh MEA – apabila isi rumah ditakrif sebagai miskin apabila pendapatan isi rumah tersebut adalah kurang daripada RM980 sebulan untuk di Semenanjung Malaysia, RM1,180 untuk di Sabah manakala RM1,020 untuk Sarawak – adalah tidak realistik.

“Kadar ini amatlah rendah. Untuk perbandingan, Palestin dan Zimbabwe, negara yang GDP per kapita hanyalah lebih kurang 1/10 dari Malaysia, mempunyai PLI yang lebih tinggi,” katanya.

Menurut Muhammed, data MEA juga mencadangkan terdapat lima negeri (Johor, Melaka, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya) di Malaysia dengan kemiskinan sifar peratus adalah tidak benar.

“Kajian UNICEF dan DM Analytics tahun lepas yang menggunakan konsep yang sama menunjukkan hampir kesemua kanak-kanak yang tinggal di flat kos rendah di Kuala Lumpur hidup di bawah tahap kemiskinan.

“Ini jauh sekali berbeza dengan konsep kemiskinan mutlak yang menunjukkan kadar kemiskinan di Kuala Lumpur adalah kosong peratus!” katanya.

Beliau berkata, kemiskinan juga haruslah dilihat daripada pelbagai sudut, seperti dari segi kesihatan.

“Kajian yang sama daripada UNICEF dan DM Analytics juga menunjukkan hampir satu daripada lima kanak-kanak di Malaysia terbantut. Malah, peratusan kanak-kanak terbantut di pantai timur sudah melepasi tahap kritikal di mana satu daripada tiga kanak-kanak di situ terbantut,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya Malaysia mengunakan unjuran atau pendekatan negara-negara maju – sekiranya isi rumah itu mempunyai pendapatan kurang daripada 50 peratus pendapatan median, isi rumah tersebut dikira miskin.

“Jika inilah ukuran kita, kadar kemiskinan di Malaysia akan melonjak kepada 16 peratus pada 2016, naik sedikit berbanding tahun 2014 (15.6 peratus), walaupun ekonomi negara berkembang pada tempoh yang sama,” katanya.

Muhammed mengulas dakwaan Menteri Ekonomi Azmin Ali yang mengkritik kenyataan Pelapor Khas Kemiskinan dan Hak Asasi Manusia PBB, Philip Alston yanmg menyifatkan kadar kemiskinan negara 0.4 peratus pada 2016 adalah tidak realistik kerana meletakkan penanda aras yang rendah.

Katanya, Malaysia mengguna pakai standard berdasarkan Canberra Group Handbook on Household Income Statistic, Edisi Kedua (2011) yang diterbitkan oleh PBB untuk mengukur kadar kemiskinan di negara ini.

Garisan Pendapatan Kemiskinan (PLI) yang digunakan pula ditetapkan pada kadar RM980 bagi peringkat kebangsaan dan dikira berdasarkan keperluan asas isi rumah untuk hidup dalam keadaan sihat dan aktif.

MKini



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *