PAS: Apa perkembangan 5 kes pemimpin DAP?

PAS hari ini mempersoalkan perkembangan lima kes pemimpin DAP yang sehingga kini belum diputuskan oleh pihak polis.

Kata timbalannya, Tuan Ibrahim Tuan Man, kerajaan dan polis perlu memperincikan perkembangan siasatan memandangkan banyak pihak telah membuat laporan polis.

“Rakyat berhak untuk mengetahui lebih lanjut perkembangan kes berkenaan supaya ia dilihat berjalan dengan telus dan adil,” katanya seperti dipetik Harakahdaily.
Iklan
Lima kes tersebut ialah kes Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy yang dikatakan mempunyai hubungan dengan pemimpin pengganas Pembebasan Harimau Tamil Ealam (LTTE), termasuk gambar yang dikatakan memaparkan anggota parlimen Batu Kawan itu melakukan ritual menyembah senapang Kalashnikov (AK-47).

Ramasamy bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut, dan menjelaskan gambar yang menunjukkannya seakan-akan sedang memberi penghormatan kepada gambar AK-47 itu sebenarnya memaparkan dirinya di tugu peringatan mangsa pembunuhan beramai-ramai dalam konflik Sri Lanka.



“Kami mempromosikan keamanan, bukan keganasan,” katanya ketika menjelaskan hal itu kepada Malaysiakini.

Kes kedua, menurut Tuan Ibrahim, melibatkan Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran yang didakwanya menuduh orang Melayu sebagai pendatang dan mahu mengetuk kepala guru-guru sejarah dalam satu program yang dianjurkan di Nilai, Negeri Sembilan, tahun lalu.

Dalam penafiannya terhadap hal itu, Kulasegaran mendakwa sama sekali tidak mengeluarkan kenyataan itu seperti dilaporkan Utusan Malaysia, dan menyifatkannya sebagai fitnah dan pembohongan.

Sebaliknya, katanya, ucapannya merujuk gelaran pendatang tidak sepatutnya dibuat ke atas mana-mana kaum termasuk India, malah sama sekali tidak menyebut tentang orang Melayu.



Kes ketiga pula, kata Tuan Ibrahim, melibatkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waythamoorthy yang dakwanya memfitnah kerajaan memberi layanan buruk, mendiskriminasi dan menzalimi masyarakat India di Malaysia pada 2007.

Pada perhimpunan Hindraf bagi membantah layanan buruk terhadap kaum India di Malaysia, Waythamoorthy selaku pengerusi Hindraf menyifatkan sekatan terhadap perhimpunan itu menunjukkan kerajaan cuba mengecewakan usaha-usaha mereka bagi mendapatkan keadilan.

Perhimpunan itu cuba mendapatkan pampasan untuk kira-kira dua juta kaum India di Malaysia yang nenek moyang mereka di bahawa ke negara ini pada tahun 1800-an sebagai sebahagian daripada perkembangan empayar British.

Untuk kes keempat pula, Exco Selangor V Ganabatirau, kata Tuan Ibrahim, menuduh kumpulan Muslim menyerang Kuil Sri Mariamman, di USJ 25, Subang Jaya, Selangor dalam kejadian yang menyebabkan rusuhan di kuil tersebut.



Ganabatirau menjelaskan kemudiannya, bahawa kenyataannya itu dibuat hanya berdasarkan apa yang diketahuinya ketika itu, dan sanggup membuat permohonan maaf atas kenyataannya itu bagi meredakan ketegangan kaum yang tercetus akibat rusuhan yang mengorbankan seorang anggota bomba itu.

Kes terakhir yang dirujuk Tuan Ibrahim, melibatkan Anggota Parlimen Batu Kawan Kasthuriraani Patto yang katanya menghina rakyat Kelantan dengan menjadikan kanak-kanak sebagai objek hiburan setelah pihak kerajaan negeri Kelantan tidak meluluskan lesen hiburan.

Ia merujuk status Kasthuriraani di media sosial Disember tahun lalu berbunyi “Maka adakah kanak-kanak menjadi hiburan?” yang dikepil bersama laporan berita berkenaan dasar Kelantan yang tidak mengelurkan lesen pusat hiburan di negeri itu.

Bagaimanapun, Kasthuriraani statusnya itu langsung tidak menyentuh tentang agama Islam seperti didakwa sesetengah pihak.



Kata Tuan Ibrahim, pihak polis perlu memberi penjelasan tuntas berhubung kelima-lima kes tersebut memandangkan ia menyentuh sensitiviti rakyat Malaysia.

“Lima kes yang melibatkan pemimpin DAP ini sangat kritikal kerana ia telah menyentuh sensitiviti rakyat Malaysia dan boleh mencetuskan ketegangan kaum,” katanya lagi.

Mkini



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker