Maal Hijrah : pinda tarikh konsert waktu lain – Jakim

Share


Penganjuran acara hiburan khususnya konsert pada 31 Ogos ini wajar dipinda ke tarikh atau waktu lain bagi menghormati sambutan Maal Hijrah atau Awal Muharram iaitu antara hari kebesaran Islam.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam kenyataan berkata, pihaknya telah mengemukakan pandangan itu selepas diminta oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Kata agensi tersebut, Jakim memberi pandangan dan nasihat mengenai kesesuaian waktu penganjuran konsert daripada sudut agama.

“Bagaimanapun Jakim bukanlah pihak berkuasa yang meluluskan permohonan penganjuran acara seumpama ini.

“Pandangan Jakim ini sebagai panduan selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan kepada Agensi Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal),” katanya di sini hari ini.

Jelas Jakim, Puspal yang mempunyai kuasa mutlak untuk meluluskan atau sebaliknya berdasarkan peraturan dan undang-undang yang sedang berkuatkuasa.

“Jakim ingin tegaskan keputusan ini telah dibuat oleh Puspal secara konsensus bersama agensi-agensi lain sebagai ahli,” katanya.

Semalam, Puspal dalam kenyataan berkata, penganjur konsert penyanyi India, SP Balasubrahmanyam bersetuju meminda waktu konsert tersebut. – UTUSAN ONLINE



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *