Balak: Saya hanya bantu kawan, itu cerita lama – Mukhriz

Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir mendakwa beliau hanya membantu untuk mendapatkan tanah di Sarawak yang dianugerahkan kepada kawannya pada sekitar tahun 1994.

Menyifatkannya sebagai cerita lama, anggota parlimen Jerlun itu menjelaskan beliau tidak mendapat manfaat yang besar daripada penganugerahan tanah berkenaan.

“Itu cerita lama, 1994. Saya pun sudah lupa. Saya membantu kawan, dia memohon (tanah), jadi dia meminta (saya) supaya terlibat sama.

“Jadi saya bantu macam itu sajalah, tetapi saya tidak dapat manfaat yang besar daripada penganugerahan tanah itu, 1,000 ekar ke 1,000 hektar saya tak pasti,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, petang ini.

Sebelum itu, pada 19 Ogos lalu, portal Sarawak Report melaporkan menteri besar Kedah yang juga anak kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad itu menerima 1,000 hektar kawasan pembalakan di Sarawak pada tahun 1994.

Menurut laporan portal itu, seorang penasihat undang-undang sebuah kerajaan negeri mendedahkan bahawa Mukhriz mendapat kontrak pembalakan daripada Ketua Menteri Sarawak pada tahun 1994 ketika Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri ke 4.

Ekoran pendedahan Sarawak Report, penasihat undang-undang berkenaan mencabar portal berita itu melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut Sarawak Report, bekas pemilik sebuah syarikat berjaya mendapatkan 1,000 hektar kontrak pembalakan dengan pertolongan penasihat undang-undang berkenaan dan Ketua Menteri Sarawak.

Sementara itu, Mukhriz berkata disebabkan perkara itu telah terlampau lama, beliau juga sudah lupa nama syarikat berkenaan.

Namun katanya, bagi Sarawak, jumlah kawasan tanah yang dianugerah kepada syarikat berkenaan pada masa itu tidak begitu luas.

“Tapi bagi Sarawak biasa saja agakanyalah, bukan kawasan yang begitu luas.

“Terlampau lama dan saya pun dah tak teringat nama syarikat itu bila disebut, tapi saya tak terlibat dengan syarikat itu sudah sekian lama,” katanya.

Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker