Kerjasama UMNO, Pas anugerah lebih berharga

KANGAR 26 Ogos – Kekalahan UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sememangnya memedihkan, namun di sebalik kekalahan tersebut, Allah SWT telah memberikan anugerah yang lebih berharga iaitu penyatuan orang Melayu dan Islam.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, Allah SWT telah menggantikan dengan nikmat yang lebih besar iaitu kerjasama UMNO, Pas dan hubungan tersebut perlu dijaga dengan sebaik-baiknya.

Katanya, apabila melihat kerjasama kedua-dua parti terbesar orang Melayu dan Islam itu, pastinya akan ada pihak yang gerun seterusnya mencari jalan untuk memecahbelahkannya.

Jelas beliau, hal demikian kerana kerjasama UMNO dan Pas ini akan kembali merampas Putrajaya dalam pilihan raya akan datang, apatah lagi selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) dilihat gagal dalam mentadbir negara.

“Sememangnya kita tidak pernah terfikir selepas lebih 62 tahun UMNO akan kehilangan kuasa. Apabila hilang kuasa, kita menangis, hiba.

“Namun sebenarnya Allah SWT telah memberikan anugerah yang lebih berharga dan menggantikan kekalahan itu dengan sesuatu yang lebih besar (kerjasama UMNO dan Pas). Jagalah nikmat ini,” katanya ketika berucap pada Himpunan Jelajah Piagam Pas-UMNO peringkat negeri ini di Dewan 2020 di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin; Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Hadir sama Pesuruhjaya Pas negeri, Mohd. Shukri Ramli; Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man dan barisan kepemimpinan kedua parti itu di negeri ini.

Tambah Shamsul Anuar, selepas lebih setahun memerintah, kerajaan PH bukan sahaja gagal, malah telah mengecewakan majoriti rakyat yang telah memberi mandat kepada mereka.

“Impian rakyat adalah untuk melihat polisi dan dasar-dasar baharu yang diperkenalkan kerajaan untuk kepentingan rakyat. Namun sehingga hari ini, tidak nampak jelas apa yang dilakukan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kerjasama UMNO dan Pas tidak akan sesekali meminggirkan kaum lain. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker