MB Perak Diramal ROMBAK Exco!

SHAH ALAM – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu diramal melakukan rombakan Exco Kerajaan Negeri dalam masa terdekat.

Penganalisis politik daripada Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata, rombakan itu dijangka dilakukan berikutan salah seorang anggota Exco Kerajaan Negeri, Paul Yong Choo Kiong kini terbabit kes mahkamah atas tuduhan merogol seorang amah Indonesia.

Beliau bagaimanapun berkata, rombakan itu mungkin dalam skala kecil dan hanya melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh itu bagi memberi laluan pendakwaan kes berjalan lancar sehingga keputusan mahkamah dicapai kelak.

“Saya tidak menolak kemungkinan berlaku pertukaran Exco Perak dalam masa terdekat, lebih-lebih lagi Exco DAP dihadapkan ke mahkamah dan dinasihatkan bercuti oleh Ahmad Faizal sendiri malam tadi (kelmarin).

“Kes Exco DAP berkenaan juga bakal membolehkan rakyat melihat sejauh mana DAP bersetuju untuk menukar atau mencalonkan nama lain bagi menggantikan beliau,” katanya.

Beliau turut menjangkakan seorang lagi Exco Perak, Abdul Yunus Jamhari akan dikekalkan dalam barisan Exco baharu meskipun berdepan tekanan hebat daripada partinya, Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk berundur berikutan terpalit dengan dakwaan kes suapan sebelum ini.

“Bagi saya, beliau tidak mengganggu proses perjalanan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Sivamurugan berkata, secara peribadi beliau berpendapat Paul Yong wajar meletak jawatan bagi memberi laluan kes pendakwaan ke atasnya berjalan lancar.

“Saya juga berpandangan elok sekiranya DAP mencalonkan orang lain supaya tidak mengganggu proses urus tadbir kerajaan negeri,” katanya.

Sivamurugan berkata, sekiranya rombakan Exco benar-benar berlaku, Ahmad Faizal pastinya akan meneliti senarai calon yang diberikan kepada beliau bagi memastikan individu terbabit benar-benar boleh bekerja di bawah pentadbirannya di samping enggan terbabit dengan polemik politik dalaman DAP Perak sendiri.

Menurutnya, situasi terkini politik di Perak memerlukan semua parti komponen PH terutama PKR dan DAP lebih berhati-hati dalam membuat sebarang keputusan politik.

Sementara itu, penganalisis politik, Dr Jeniri Amir menyifatkan tindakan menggugurkan Paul Yong daripada barisan Exco Perak adalah wajar.

Dr Jeniri Amir
Menurutnya, dengan pengunduran Exco berkenaan, pihak berkuasa akan lebih mudah mengambil tindakan undang-undang dan tidak menyulitkan Menteri Besar Perak, lebih-lebih lagi kes melibatkan amah Indonesia terbabit turut menjadi perhatian media antarabangsa.

“Namun begitu, jika Exco DAP berkenaan digugurkan, saya tidak rasa akan berlaku rombakan Exco. Sebaliknya jawatan beliau akan dipangku Exco lain sementara menunggu keputusan perbicaraan mahkamah.

“Paling penting, kerajaan PH Perak tidak harus mewujudkan persepsi dwistandard dari segenap aspek keputusan politik dibuat memandangkan persepsi umum paling penting dalam politik,” katanya.

Menurutnya, isu dua Exco Perak terpalit dakwaan jenayah dan suapan akan mengundang persoalan kepada rakyat terhadap kewibawaan terhadap kerajaan PH di Perak.

Sinar Harian

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker