Malapetaka buat usahawan Bumiputera : Tiada lagi bantuan geran modal.

Ini berita buruk untuk usahawan bumiputera!

Berikut adalah kenyataan Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan

Memberhentikan bantuan geran modal kepada syarikat bumiputera adalah satu perkara yang drastik dan ‘counter-productive’. Lebih-lebih lagi semasa bank-bank sekarang ini lebih konservatif dalam meluluskan pinjaman ketika negara berhadapan dengan kemelesetan ekonomi.

Bukan semua usahawan bumiputera gagal! Kalau diberhentikan, usahawan bumiputera yang berdaya maju akan menjadi mangsa. Kalau pun ada kelemahan, baiki bukan berhentikan. Jangan kerana ketidakupayaan kerajaan mengurus ekonomi dengan baik, usahawan bumiputera yang berwibawa menjadi mangsa.

Zaman BN dulu, satu cara untuk menapis syarikat bumiputera yang berdaya saing daripada yang tidak, ialah melalui penubuhan agensi seperti Teraju yang diurus oleh kumpulan pengurusan profesional dengan tatacara kerja yang teliti. SOP (Standard Operating Procedure) mereka ketat dan telus.

Teraju memastikan proses pemilihan dan proses pemantauan berterusan dapat dijalankan dengan lebih profesional, terbuka dan adil. Dan banyak contoh kejayaan syarikat bumiputera melalui Teraju termasuk di Sabah dan Sarawak.

Saya ingin bertanya kenapa kerajaan Pakatan Harapan (PH), terutamanya Menteri Kewangan, kenapa boleh pula menyediakan dana besar untuk kereta nasional ketiga dan kereta terbang? Apakah Kementerian Kewangan merasakan itu lebih penting dari agenda membantu usahawan bumiputera?

Saya lebih sedih kerana usahawan bumiputera dari Sabah dan Sarawak sudah tentu akan lebih terkesan dengan keputusan kerajaan ini kerana mereka berdepan dengan cabaran yang jauh lebih besar dari dalam mereka di Semenanjung!

Dana usahawan adalah salah satu cara mereka mendapat modal untuk berniaga! Kalau tidak, mereka tidak akan berpeluang untuk menceburi bidang perniagaan.

Kerajaan perlu diingatkan bahawa membantu usahawan bumiputera adalah sebahagian daripada agenda besar bumiputera yang telah diiktiraf oleh negara sejak merdeka lagi! Agenda ini wajib diteruskan sehinggalah ia mencapai objektifnya.

Kalau ada kelemahan, baiki bukan berhenti!

Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan
Pemangku Ketua UMNO Sabah Bahagian Tuaran,
Ahli Majlis Tertinggi UMNO Malaysia

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker