Kesatuan dan Keharmonian Kaum

UMAT sedang berdepan dengan cabaran getir. Perpecahan atas dasar politik nampak mewarnai karektor umat. Daripada perselisihan politik sehingga perang antara sesama umat.

Yang jelas umat Islam hilang pedoman dalam mencari titik bertemu untuk bersatu.

Paling berat ialah dalam berkhilaf, umat Islam seolah terheret dalam persengketaan yang tidak ada penyelesaian sehingga melibatkan perang yang mengambil ratusan ribu malah jutaan nyawa.

Di tengah kemelut antara sesama umat itulah pihak lain mencelah. Lebih berat, pemimpin negara-negara Islam diperalat dan diperkuda semahunya.

Negara Islam berpecah sehingga tidak lagi digeruni. Akibatnya amat parah. Satu demi satu negara Islam hancur luluh.

Dalam negara ini, umat berdepan dengan asakan golongan yang mahu menyekat agenda Islam. Atas nama kebebasan bersuara, mempersoal dasar dan program negara untuk memperkukuhkan kedudukan Islam semakin lantang.

Daripada soal memperkenal ajaran jawi di sekolah hingga melaksanakan hukum Islam dalam pentadbiran negara. Disebabkan kesatuan umat yang tidak utuh, golongan berkepentingan kaum, politik dan agama meraih kesempatan.

Islam sering disudutkan. Kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan seolah tidak membawa makna.

Sering berlaku, mereka yang nampak kali ini wujud suasana lebih terbuka, maka mereka mengambil kesempatan. Lalu, isu sensitiviti antara kaum dan agama tidak dipedulikan.

Mengungkit soal kaum Melayu bukan bangsa asal di negara ini, askar dalam Angkatan Tentera Malaysia yang dominan Melayu, hanya makan dan tidur, pernah diutarakan oleh pihak tertentu secara terbuka.

Akan tetapi terlepas dengan hanya mengumum minta maaf.

Sesungguhnya keharmonian antara kaum di negara ini sangat bergantung kepada keutuhan kesatuan antara umat Islam sendiri.

Ketika umat Islam sendiri saling menuding dan menyebarkan fitnah antara sesama sendiri, suara daripada pihak lain akan lebih lantang untuk mempersoalkan agenda Islam yang menjadi teras kepada pembinaan negara.

Keharmonian antara kaum adalah prinsip yang sudah diabadikan dalam Islam. Kaum ialah ciptaan Tuhan yang tidak boleh dinafikan.Tujuan diwujudkan kaum adalah untuk saling berkenalan.

Saling berkenalan bermakna saling menghargai dan menghormati antara satu kaum dengan yang lain.

Akan tetapi dalam realiti sesebuah negara yang mempunyai sejarah tersendiri, asal-usul kaum yang menjadi pendudukan awal perlu dihormati.

Tidak wajar ada suara yang mendakwa kaum Melayu sebagai pendatang. Ini pasti mencetuskan kemarahan kaum. Demikian, apabila memperkenalkan pengajaran jawi dalam pembelajaran di sekolah kebangsaan, tidak seharusnya dipertikaikan.

Pihak Dong Zong yang mempersoalkan jawi diajar di sekolah kebangsaan jelas berfikiran sempit.Kesangsian terhadap tujuan jawi mahu diajar adalah sangat berbaur perkauman.

Hanya kerana jawi adalah dianggap tulisan bangsa Melayu dan Islam, pihak organisasi sekolah Cina tersebut membantah keras.

Kini isu keharmonian kaum menjadi panas semula apabila seorang pendakwah, Dr Zakir Naik dari India dianggap mencetuskan ketegangan antara kaum.

Soalnya pihak yang menuduh tidak mahu berhujah dengan waras tetapi sanggup memutar belit ucapan pendakwah tersebut. Mereka telah berkempen habis-habisan serta menekan kerajaan supaya bertindak menghantar beliau balik ke India.

Sangat malang jika kerajaan tunduk kepada golongan yang sangat prejudis terhadap Islam dan pendakwah Islam. Lebih malang jika pendirian pendakwah tersebut untuk menjelaskan kebenaran Islam dilihat mencetuskan ketegangan.

Hanya kerana beliau mampu menarik ramai untuk berminat dengan Islam melalui ucapannya, maka tidak sepatutnya beliau dianggap musuh.

Seharusnya umat Islam menunjukkan solidariti dengan pendakwah tersebut dan tidak terperangkap dengan sikap negatif golongan yang menyimpan prasangka yang melampau.

Di sinilah sekali lagi isu kesatuan ummah sangat genting dan penting. Jika umat Islam tidak bersatu, ia akan menerima padah menjadi golongan yang kelihatan majoriti tetapi dinafikan hak oleh golongan minoriti di bumi sendiri.

Mohd Azmi Abd Hamid ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker