Sahkah solat tanpa memakai telekung?

PERNAHKAH anda melihat wanita solat tanpa mengenakan telekung, sebaliknya memakai pakaian yang tersarung di tubuhnya tidak kira jubah mahupun seluar panjang, tetapi lengkap dengan tudung dan stoking.

Apa yang menjadi tanda tanya, adakah solat mereka itu sah ataupun tidak jika tidak memakai telekung.

Sebenarnya, pemakaian telekung bukanlah wajib ketika bersolat. Apa yang penting ialah, wanita itu perlu mengenakan pakaian menepati syarat sah solat iaitu menutup aurat.

Menurut para ulama Mazhab Syafie, aurat wanita dalam solat adalah keseluruhan jasad wanita kecuali muka dan kedua tapak tangan iaitu daripada hujung jari sehingga ke pergelangan tangan.



Ini berdasarkan firman Allah SWT bermaksud: “Dan, janganlah mereka menampakkan perhiasannya kecuali yang (biasa) nampak daripada padanya.” (Surah An Nur: 31)

Sementara itu, dalam hadis lain, Aisyah r.ha. pernah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidak sah solat perempuan yang baligh kecuali menutup kepalanya .” – Riwayat Tirmizi

Berdasarkan hujah tersebut, dijelaskan bahawa hukum wanita mengerjakan solat tanpa mengenakan telekung adalah sah sekiranya pakaian sedia adanya itu telah menutup aurat.

Namun perlu diingatkan juga bahawa pakaian menutup aurat itu adalah dengan melabuhkan tudung sehingga menutupi bahagian dada, berpakaian longgar tidak menampakkan bentuk tubuh dan juga tidak nipis sehingga boleh menampakkan warna kulit serta ia mesti labuh hingga boleh menutupi bahagian kaki.



Muftiwp.gov.my

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker