Rizab Antarabangsa BNM susut AS$800 juta pada 15 Ogos

Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) menyusut AS$800 juta (RM3.35 bilion) kepada AS$103.1 bilion (RM431.1 bilion) pada 15 Ogos 2019 daripada AS$103.9 bilion (RM434.45 bilion) dicatatkan pada 31 Julai 2019.

BNM dalam kenyataan berkata kedudukan rizab itu adalah memadai untuk membiayai 7.6 bulan import tertangguh dan 1.1 kali jumlah hutang luar negara jangka pendek.

“Komponen utama rizab antarabangsa terdiri daripada rizab mata wang asing sebanyak AS$96.8 bilion (RM404.76 bilion); kedudukan rizab Tabung Kewangan Antarabangsa, AS$1.2 bilion (RM5.02 bilion); Hak Pengeluaran Khas (SDR), AS$1.1 bilion (RM4.60 bilion); emas, AS$1.8 bilion (RM7.53 bilion) dan lain-lain aset rizab, AS$2.2 bilion (RM9.2 bilion),” katanya di sini hari ini.

Menurut bank pusat itu, aset termasuk emas dan pertukaran asing serta rizab-rizab lain lain termasuk SDR berjumlah RM427.04 bilion, kertas kerajaan Malaysia (RM2.26 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM2.20 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM6.91 bilion), tanah dan bangunan (RM4.16 bilion) dan aset-aset lain (RM11.91 bilion).

Modal dan liabiliti terdiri daripada modal berbayar (RM100 juta), rizab (RM140.63 bilion), mata wang dalam edaran (RM108.96 bilion), deposit institusi kewangan (RM158.71 bilion), deposit kerajaan persekutuan (RM13.84 bilion), deposit lain (RM1.53 bilion), kertas Bank Negara (RM20.56 bilion), peruntukan SDR (RM7.72 bilion), dan liabiliti lain (RM2.43 bilion). – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker