Gojek: Ambil Kira Faktor Keselamatan Dan Norma Budaya Masyarakat Negara Ini, Tegas Shahrul

Share


Exco Pemuda UMNO Malaysia, Shahrul Nasrun Kamaruddin menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil kira faktor keselamatan dan norma budaya masyarakat sebelum mengimplimentasi perkhidmatan GoJek.

Ini kerana katanya, faktor keselamatan perlu diambil kira kerana kadar kemalangan di Malaysia mencatatkan pengguna dan penunggang motosikal paling tinggi kematian, daripada 18 kemalangan mencatatkan 13 kematian.

“Selain itu kita juga perlu melihat budaya di Malaysia. Adakah kita biasa lihat wanita menunggang motosikal yang dibawa orang asing?

“Bayangkan jika isteri atau anak gadis kita menunggang motosikal dengan lelaki atau wanita yang tidak dikenali,” katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya.

Semalam, kerajaan bersetuju melaksanakan Gojek atau teksi motosikal dengan membawa masuk pengendali luar itu berkhidmat di negara ini hasil idea Menteri Belia Dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Sebagai rekod kata Shahrul, pada tahun 2018, Kerajaan Barisan Nasional (BN) pernah melarang teksi motosikal Dego Ride yang diusahakan anak muda tempatan kerana mengambil kira faktor keselamatan.

Selain itu tambah Shahrul akan timbul persoalan lain seperti adakah sesuai teksi motosikal dilaksanakan di negara kita seperti mana Indonesia dan Vietnam.

“Di Indonesia mencatatkan penggunaan motosikal terbesar di Asia Tenggara. Rakyat di republik itu 260 juta orang. Setahun jualan motosikal sebanyak 6,383,111 unit mewakili 47 peratus jumlah motosikal di seluruh Asia Tenggara.

“Selepas Indonesia, Vietnam mencatatkan jumlah kedua terbesar, populasi penduduk di Vietnam 96 juta orang. Jualan motosikal di negara itu sebanyak 3,386,097 setahun.

“Kemudian diikuti Thailand mencatatkan jualan 1,788,323 unit motosikal yang telah dijual. Kesemua data jualan motosikal tiga buah negara di Asia Tenggara ini dicatatkan untuk tahun 2018,” tambahnya.

Ini bermaksud jelasnya, dalam tempoh setahun berjuta motosikal terjual yang bermakna motosikal menguasai jalan raya di negara-negara berkenaan.

“Justeru adalah tidak pelik motosikal dijadikan teksi di sana.

“Berbeza di Malaysia jika kita melihat data secara terperinci di Malaysia keseluruhannya terdapat sekitar 13,288,797 kereta dan lebih 12,933,042 motosikal persendirian,” katanya.

Mengulas lanjut, Shahrul berkata baginya tiada sebarang bantahan cadangan untuk menjana pendapatan atau memberi peluang kerja kepada golongan belia.

“Jika Gojek dapat menjana peluang kerja kepada golongan belia terutama ‘Mat Moto’ setahu saya ramai di kalangan ‘Mat Moto’ kini buat Grabfood atau Foodpanda.

“Sekiranya Syed Saddiq beria-ia mahukan teksi motosikal dilaksanakan di Malaysia, saya sarankan kerajaan memberi peluang itu kepada anak tempatan seperti anak muda yang melaksanakan Dego Ride,” ujarnya lagi.

Justeru katanya, Syed Saddiq perlu memikirkan idea yang lebih besar berbanding memperkenalkan Gojek di dalam usaha untuk mencipta sejuta peluang pekerjaan seperti PH janjikan.

“Paling kelakar Perdana Menteri (PM) kesayangan kita, Tun Dr. Mahathir (Mohamad) terlupa dulu beliau pernah ‘menghina’ graduan membawa Grab dan berniaga nasi lemak.

“Ironi, sekarang PM kita mahu anak muda bawa teksi motosikal atau jadi ‘driver’ Gojek sebagai pekerjaan,” sinisnya. – UMNO ONLINE



Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *