Bangkit dalam Himpunan Melayu Bangkit dan Penyatuan Ummah 2.0

KUALA LUMPUR 20 Ogos – Terkesan dengan kedudukan Islam dan orang Melayu yang semakin tergugat di negara ini, UMNO bakal menganjurkan Himpunan Melayu Bangkit dan Penyatuan Ummah 2.0.

Pengerusi Jawatankuasa Himpunan UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, himpunan berkenaan adalah rentetan daripada kejayaan himpunan di Kampung Gajah tahun lalu.

Ujarnya, UMNO dan Pas merasakan himpunan sedemikian rupa wajar diadakan bagi membangkitkan semula semangat dalam kalangan orang Melayu untuk terus bersatu padu dan saling bekerjasama.

“Pakatan Harapan nampaknya tidak berminat melindungi orang Melayu, bumiputera dan Islam, dan tidak memberi keadilan kepada bangsa kita.

“Nak tunggu apa lagi, inilah masanya untuk kita bangkit terus bersemangat menyuarakan isi hati kita, kita tidak mahu diperlakukan sedemikian dan kita bersedia menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar khas di sini malam ini.

Himpunan Melayu Bangkit dan Penyatuan Ummah 2.0 bakal dilangsungkan pada 30 Ogos depan bermula pukul 8 malam di Dataran Dewan Besar Sungai Manik, Kampung Gajah.

Himpunan berkenaan menyasarkan kehadiran kira-kira 50,000 hadirin dari seluruh pelusuk negara dalam kalangan orang Melayu dan bumiputera.

Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak berkata, himpunan berkenaan turut dihadiri Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya lagi, bagi pihak Pas, Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan bakal hadir bagi menggantikan Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang mempunyai urusan di luar negara pada ketika itu.

“Setakat ini tiada halangan (dari kerajaan), nampaknya tiada dan pihak berkuasa pun tiada sebab untuk menghalang kerana kita tidak timbulkan masalah sama ada dari segi lalu lintas atau sebagainya.

“Penerimaan dari MCA sudah ada begitu juga MIC, ini bermakna mereka sudah faham penyatuan ummah bukan untuk Islam dan Melayu sahaja tetapi untuk semua,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker