Zakir Naik: DAP tidak bersendirian

Share


KUALA LUMPUR 16 Ogos – Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman mempersoalkan tindakan segelintir pemimpin DAP yang sangat berlebihan menyasar Dr. Zakir Naik tanpa memahami ucapan penuh pendakwah antarabangsa tersebut.

Menurut Abdul Latiff, setelah meneliti kenyataan ‘penuh’ Zakir terhadap isu pengusiran ‘pendatang lama’ beliau berpendapat Zakir tidak sepenuhnya memberi erti bahawa pendakwah itu bermaksud seperti difahami oleh banyak pihak daripada hasil laporan media yang sengaja cuba mencetuskan isu.

Tambahnya, tindakan kerajaan India juga sebenarnya penuh kekaburan dan tidak mempunyai bukti yang kukuh.

“Seperti diketahui, di Malaysia DAP merupakan sebuah parti yang sangat ‘bermasalah’ dengan Islam. Mereka sering menyerang Islam dengan pelbagai hujah dangkal yang tidak masuk akal.

“Dalam isu Dr. Zakir Naik, DAP sangat berlebihan dan ternyata mereka tidak bersendirian dalam isu ini,” katanya seperti dipetik portal Harakah Daily hari ini.

Tambah Abdul Latiff, jangan dengan hanya memiliki kuasa yang secebis, DAP telah cuba menunjukkan taring dan bak kata pepatah sebagaimana ditegaskan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang iaitu ‘Diberi betis hendak peha’.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana bertegas dalam isu Dr. Zakir Naik.

“Kita selaku umat Islam wajib mempertahankan Dr. Zakir Naik untuk kekal di Malaysia demi Islam walau dengan apa sahaja cara sekalipun,” ujarnya.

Menurut beliau, umat Islam perlu menunjukkan kepada DAP dan bukan Muslim bahawa semua Muslim adalah bersaudara dan cintakan keharmonian. – UTUSAN ONLINE


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *