Malaysia Baharu Versi PH ‘Istimewa’, Berjaya Buat Pasaran Saham Semakin Merudum – Najib

Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menyindir kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang berbangga dengan ‘Malaysia Baharu’nya kononnya mempunyai keistimewaan tersendiri.

Merujuk kepada pasaran saham yang mempunyai turun naik, Najib dalam Facebook kecewa melihat pasaran saham negara ini semakin menjunam.

“Pasaran saham ada naik ada turun. Tapi saya tengok pasaran saham kita di zaman ‘Malaysia Baharu’ ini agak istimewa.

“Apabila pasaran saham negara lain turun, kita turun. Apabila pasaran saham negara lain naik, kita turun lagi. ‘Trend’ ini amat jelas jika kita tengok graf untuk tempoh dua tahun ini,” ujarnya.

Jelasnya, ini berbeza sewaktu negara ditadbir Barisan Nasional (BN) sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

“Sebelum PRU-14, pasaran saham kita sedang naik. Selepas PRU-14, kita ‘U-turn’ dan terus masuk lorong ‘one way street’ menghala ke bawah.

“Kini kita masih ‘merah’ berbanding warna ‘hijau’ untuk negara lain. PH mungkin lebih minat warna merah dan pantang dengan warna hijau.

“Hari ini indeks pasaran saham kita sudah turun ke paras paling rendah sejak 5 tahun yang lepas. Pasa masa yang sama, nilai Ringgit terus rendah, terutama berbanding Yen. Boleh tengok graf,” tambahnya.

Bahkan kata Ahli Parlimen Pekan itu, tanggungan pinjaman bon Samurai yang diambil Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang digelarnya Menteri Kewayangan bulan Mac lalu pun sudah jadi lebih mahal.

“Dengan ini, saya percaya bon Samurai kedua akan dipinjam oleh kerajaan PH tak lama lagi.

“Sementara waktu, kerajaan PH tengah huru-hara dengan isu khat/jawi, isu Zakir Naik, isu Dong Zong dan isu bila nak tukar PM ke-7 kepada PM ke-8,” sinisnya lagi. – UMNO ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker