Tulisan Jawi dalam bahan lucah : Ahli Parlimen Kluang gunakan contoh tidak sensitif – Kok Seong

Tindakan Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi menunjukkan tulisan jawi digunakan dalam bahan bacaan lucah, disifatkan sebagai menghina tulisan berkenaan.

Pakar bahasa Melayu, Prof Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, walaupun Shu Qi mahu menjelaskan tulisan jawi tiada kaitan dengan penyebaran Islam, namun contoh yang digunakan tidak sensitif kepada perasaan orang Melayu.

Ditanya mengenai contoh yang wajar digunakan Shu Qi bagi menjelaskan perkara itu, khususnya kepada masyarakat Cina, beliau berkata, Ahli Parlimen DAP itu boleh mengemukakan beberapa perniagaan dimiliki orang Cina yang menggunakan tulisan jawi.

“Tulisan jawi digunakan di papan tanda pada kedai Cina di Kelantan, Terengganu dan Kedah, juga digunakan oleh orang Cina bagi mengiklankan produk mereka,” katanya.



Kok Seong yang juga Felo Utama Bersama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, ia mungkin kesalahan ikhlas daripada Shu Qi, namun hakikatnya banyak lagi contoh lebih elok yang boleh digunakan.

“Apabila kita menggunakan contoh sedemikian, ia boleh dikatakan semacam merendahkan martabat tulisan jawi itu sendiri. Ini contoh yang tidak baik.

“Walaupun hakikatnya betul tulisan jawi pernah digunakan untuk bahan sedemikian, tapi bila disebut bahan lucah ia seperti menghina tulisan jawi walaupun hakikatnya betul.

“Sistem tulisan memang boleh digunakan untuk apa sahaja, bahan yang tinggi martabat seperti kitab dan yang rendah martabat seperti nak mencarut pun boleh guna tulisan jawi.



“Tapi beliau (Shu Qi) sepatutnya lebih berhati-hati kerana tentunya apa yang beliau gunakan menyinggung sensitiviti orang Melayu,” katanya ketika dihubungi BH, semalam.

Kok Seong demikian ketika diminta mengulas mengenai video tular menunjukkan Shu Qi mengaitkan tulisan jawi yang pernah digunakan bagi menulis buku pornografi suatu ketika dahulu, bagi menjelaskan bahawa tulisan itu tidak terhad kepada agama Islam semata-mata.

Video itu menimbulkan polemik dalam kalangan netizen, khususnya orang Melayu yang rata-ratanya tidak bersetuju dan tersinggung dengan contoh yang digunakan.

Shu Qi dalam satu kenyataan semalam mengakui menggunakan contoh berkenaan dalam satu sesi dialog tertutup bersama 28 persatuan mewakili penduduk Cina di Kluang, Johor, namun mendakwa konteks ucapannya disalah tafsir oleh ahli politik MCA dan UMNO.



BH

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker