Guna bahan lucah tunjuk contoh Jawi memalukan – Razlan

Tindakan MP Kluang Wong Shu Qi menggunakan bahan lucah bagi menunjukkan contoh bagaimana tulisan Jawi digunakan di luar skop agama Islam pada zaman dahulu memalukan penulisan seni khat itu, kata Anggota Majlis Tertinggi Umno, Mohd Razlan Rafii.

“Apa yang dilakukan oleh MP Kluang adalah satu yang tidak bertanggungjawab terhadap negara, ada banyak contoh yang boleh diambil untuk menunjukkan DAP ikhlas dalam menyokong (pembelajaran tulisan Jawi).

“Untuk menunjukkan contoh bahan penulisan dalam Jawi, ada banyak contoh perjanjian Malaya dengan tulisan Jawi dan boleh tunjuk juga (akhbar Jawi) Utusan Melayu,” katanya dalam suatu kenyataan hari ini.

Razlan yang juga naib ketua Umno Bahagian Seputeh mengulas klip video di internet yang memaparkan ucapan Wong dalam majlis dialog dengan Persatuan Tiong Hwa dan wakil 27 persatuan masyarakat Cina pada 9 Ogos di Kluang.



Wong pada majlis itu melakukan pembentangan menggunakan slaid bagi menerangkan tulisan Jawi telah digunakan sebagai sistem tulisan bahasa Meayu sebelum tahun 1956 serta tidak terhad kepada penulisan agama Islam sahaja, malah turut digunakan untuk mengarang kitab Kristian dan bahan pornografi.

Menurut Razlan, anggota parlimen DAP itu cuba mensensasikan isu tersebut dan memalukan tulisan Jawi.

“Tapi apa yang beliau lakukan, adalah dengan sengaja untuk mencari isu dalam mensensasikan isu ini, dan mendapat tepukan dari Penyokong DAP dengan memalukan penulisan khat Jawi.

“MP ini harus menghormati perasaan di antara Melayu, tindakan menggunakan contoh bahan lucah adalah satu perkara yang bodoh dan ketinggalan zaman,” tegasnya lagi.



Sumber Mkini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker