Tidak mengapa ada 10 parti Islam asalkan bersatu hadapi musuh

KOTA BHARU 10 Ogos – Penyatuan ummah merupakan penyelesaian terbaik bagi menghadapi ancaman ‘pihak ketiga’ yang tidak akan berhenti mengganggu gugat kepentingan dan kesucian agama Islam.

Penceramah tersohor antarabangsa, Dr. Zakir Naik berkata, bertelingkah sesama sendiri akibat berbeza pendapat perkara lumrah, namun apabila ‘pihak ketiga’ tersebut muncul, umat Islam patut berhenti berbalah dan segera bersatu.

Jika tidak kata beliau, natijahnya cukup besar iaitu Islam akan jatuh manakala pihak musuh pula menjadi bertambah kuat sekali gus bakal mendapat kuasa yang mereka idam-idamkan.

“Kita boleh berbeza pendapat, tidak ada masalah. Biarlah ada 10 kumpulan Islam atau 10 organisasi kebajikan Islam, tidak ada masalah. Malah tidak mengapa jika kita ada 10 parti Islam sekalipun.

“Tetapi apabila pihak ketiga ini
muncul, kita harus bersatu. Ini mesej saya kepada umat Islam, tolonglah bersatu atau Islam akan jatuh,” katanya dalam sesi soal jawab Pidato Perdana Perpaduan Ummah di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Timbalan Mursyidul Am Pas merangkap Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob serta Timbalan Presiden Pas yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Pidato bertemakan Islamophobia anjuran Kerajaan Pas Kelantan sempena Jelajah Dr. Zakir Naik ke Kelantan 2019 tersebut mendapat sambutan luar biasa dengan kehadiran kira-kira 70,000 pengunjung tempatan dan luar negeri ini.

Mengulas lanjut, Zakir memberitahu, zaman para sahabat Nabi Muhammad SAW tidak terkecuali daripada bertelagah sesama sendiri namun mereka segera bersatu apabila pihak musuh cuba mengganggu gugat dan mencampuri urusan Islam.

“Perang Jamal melibatkan pertelagahan kumpulan (Saidatina) Aisyah dengan (Saidina) Ali, namun apabila pihak ketiga cuba campur tangan, mereka sokong satu sama lain dan berkata, kamu diam. Ini hanya antara kami.

“Tidak ada masalah (bergaduh) jika antara kita, namun apabila melibatkan pihak ketiga, umat Islam harus bersatu,” tegas beliau.

Terdahulu ketika menjawab soalan salah seorang hadirin berkaitan keganasan yang sering dikaitkan dengan Islam, Zakir berkata, negara-negara Islam gagal menangkis tohmahan kerana gagal bersatu selepas dipecah belah oleh pihak musuh.

Dalam perkembangan lain, beliau memuji Tun Dr. Mahathir Mohamad dan menyifatkan Perdana Menteri sebagai salah seorang pemimpin Islam yang tegas serta berani menegur kuasa besar seperti Amerika Syarikat. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker