Pas amat puas hati, tiada pertembungan kerusi

MARANG 9 Ogos – Pas amat berpuas hati dengan hasil perbincangan setakat ini antara parti itu dan UMNO berkaitan pembahagian kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang disifatkan satu perkembangan yang sangat baik dan positif.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Pas dan UMNO sudah mencapai persepakatan untuk penyatuan setelah kedua-dua belah pihak telah melalui serta belajar dari pengalaman sejarah politik yang lalu selain mengutamakan kepentingan untuk menyelamatkan negara dan Islam.

Berdasarkan perkembangan itu, katanya, Pas akan memastikan pembahagian kerusi antara dua parti Melayu itu dilakukan sebaik mungkin sekali gus mengelak sebarang pertembungan bagi menghadapi PRU akan datang.

” Kita nampak perbincangan sangat baik, UMNO ambil iktibar dari kejatuhannya dan kita telah biasa hadapi pilihan raya begini. Jadi, kedua-dua ini kita kena campurlah. Pengalaman Pas yang seringkali hadapi kekalahan, UMNO pula ambil iktibar dari kejatuhannya.

“Dua-dua (Pas dan UMNO) ini ada pertemuan apatah lagi untuk kepentingan Islam dan selamatkan negara. Kedua-duanya terima pendekatan iaitu kepemimpinan Melayu Islam dan juga terima hakikat masyarakat majmuk, sebab itulah kita sepakat. Sekarang ini sudah ada respons dari MIC, MCA dan Gerakan pun ada, respons sangat positif,” katanya.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menyatakan perkara itu kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya sejurus selesai mengadakan Kuliah Jumaat di Masjid Rusila di sini hari ini.

Mengulas lanjut kemungkinan berlaku pertembungan kerusi, beliau menjelaskan, kedua-dua belah pihak perlu saling bertolak ansur dengan mengambil kira segala kepentingan bersama sebelum pembahagian kerusi dimuktamadkan kelak.

“Kita akan berusaha tidak ada pertembungan (kerusi), ada tolak ansur dan tak banyak masalah sekarang ini. UMNO dah menang kerusi, Pas pun dah menang. Kerusi parti lain pun dah menang, itu boleh dibincang.

“Pas dan UMNO yang pernah menang dulu pun semua itu kena ambil kira, begitu juga kena ambil kira tempat yang ada penyokong UMNO dan penyokong Pas. Kedua-dua pihak kena berbincang, alhamdulillah,” tambahnya. – UTUSAN ONLINE

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker