UMNO Pekan beri penjelasan, kronologi isu tembakan didedahkan Najib

UMNO Bahagian Pekan memberikan penjelasan dan kronologi berhubung pendedahan ketuanya, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Wacana Penerangan UMNO pada 7 Ogos lalu bahawa beliau pernah menerima ancaman apabila pejabatnya di bangunan UMNO bahagian itu ditembak.

UMNO Bahagian Pekan dalam kenyataannya hari ini berkata, pada 13 November 2017, pihaknya membuat laporan polis berhubung kejadian tembakan yang mengenai dinding kaca bangunan UMNO Bahagian tersebut.

“Kejadian dipercayai berlaku pada 11 atau 12 November 2017 iaitu pada cuti hujung minggu dan hanya disedari kakitangan Pejabat UMNO Bahagian Pekan yang memasuki pejabat pada 13 November 2017 apabila mendapati terdapat kesan tembakan di dinding kaca pejabat kakitangan tersebut di tingkat empat.

“Ekoran itu, Setiausaha Kerja UMNO Bahagian Pekan telah memaklumkan kepada Ketua Polis Daerah Pekan pada hari yang sama berhubung penemuan kesan tembakan itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada 7 Ogos lalu, Najib yang juga bekas Perdana Menteri berkongsi cerita tentang satu ‘mesej’ untuknya daripada penembak hendap di ibu pejabat UMNO Pekan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Najib berkata, ‘mesej’ tersebut dihantar menerusi tingkap pejabatnya menggunakan senapang jarak jauh pada kedudukan 200 meter.

Mengulas lanjut, UMNO Bahagian Pekan dalam kenyataannya memaklumkan, siasatan polis turut menemukan satu lagi kesan tembakan di dinding kaca yang menempatkan Pejabat Ketua UMNO Bahagian Pekan di tingkat lima.

Jelas kenyataan itu, kesan tembakan pertama di tingkat empat adalah selari dengan kesan tembakan di tingkat lima.

“Ekoran itu, pada hari yang sama kakitangan pejabat UMNO Bahagian Pekan yang mula-mula menemukan kesan tembakan tersebut, Mohd. Tahar Ismail telah membuat laporan polis di lbu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan.

“Bilik-bilik yang terkena kesan tembakan telah pun disita bagi membolehkan polis menjalankan siasatan dan pemeriksaan yang mengambil masa dua minggu. Pengarah Bahagian Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Mokhtar Mohd. Sharif bersama Forensik Bukit Aman turut hadir menjalankan pemeriksaan,” katanya.

Ekoran kejadian tersebut, kenyataan itu memaklumkan, UMNO Bahagian Pekan telah mengambil langkah-langkah keselamatan dengan memasang kamera litar tertutup (CCTV) serta menggantikan dinding kaca tempat terkena tembakan dengan dinding bata/konkrit.

“Bagaimanapun pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak memaklumkan hasil siasatan berhubung kes berkenaan. UMNO Bahagian Pekan tetap menaruh penuh keyakinan bahawa pihak PDRM mampu menjalankan siasatan dan menangani kes ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Saya baca komen.
Ada yang tuduh saya menipu mengenai ancaman keselamatan yang berlaku pada tahun 2017.
Ok. Saya sambung pendedahan ini.
Dengan gambar sekali.
Ini juga antara sebab perlindungan keselamatan UTK kepada saya ditingkatkan antara 2017 ke 2018.
Saya bukannya nak ungkit pasal kisah lama ini.
Cuma nak jelaskan mengenai persepsi dahulu yang dimainkan PH bahawa saya tidak mesra rakyat atau rakyat tidak mudah mendekati saya.
Bukan peribadi saya untuk tidak mesra rakyat.
Najib Razak sejak jadi ADUN dan MP Pekan sampai hari ini…. rakyat diutamakan.
Walaupun berdepan dengan ancaman atau cabaran politik dahulu sehingga kini.
Ya, pahit manis, Najib Razak tetap berjuang dan bersama rakyat.
Ini janji dan komitmen saya.

dari FB Najib Razak

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker