Kumpulan mahu guling Amirudin dakwa sudah ada cukup sokongan

SHAH ALAM 8 Ogos – Pihak yang merancang untuk menggulingkan Amirudin Shari daripada jawatan Menteri Besar Selangor mendakwa mereka sudah mempunyai majoriti mencukupi untuk menjayakan pelan undi tidak percaya.

Menurut salah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terlibat, Amirudin ketika ini hanya memiliki sokongan sejumlah 13 ADUN PKR dan enam daripada pembangkang dengan Parti Amanah Negara (Amanah) serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih berbelah bahagi.

Pada masa yang sama, Dr. Idris Ahmad menjadi pilihan kumpulan berkenaan untuk menggantikan Amirudin kerana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ijok itu dianggap berpengalaman serta direstui Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, dua nama lain turut tersenarai sebagai calon Menteri Besar dan ia sebagai alternatif jika pihak Istana Selangor menolak Idris memandangkan ada khabar angin ADUN Ijok tersebut kurang mesra dengan Sultan Selangor.

“Memang benar Amirudin sedang berkrisis dengan DAP dan beliau cuba untuk menyingkirkan Speaker (Ng Suee Lim) tetapi kami melihat isunya di sini adalah Amirudin itu sendiri yang tidak berkemampuan untuk terus memimpin Selangor.

“Apa yang boleh saya beritahu, kami ada bilangan mencukupi dan tidak mustahil boleh mencapai sehingga 37 ADUN, dalam PKR Amirudin hanya ada 13 sahaja,” kata wakil rakyat bukan daripada PKR tersebut kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Politik Selangor bergolak apabila DAP melalui Suee Lim menunjukan kuasanya dengan ‘mengenakan’ Amirudin dalam isu usul berkaitan pemerkasaan agama Islam yang sepatutnya dibawa kerajaan negeri ke sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan memendekkan sidang kepada cuma dua hari.

Tindak-tanduk DAP tersebut selain kerana tidak selesa dengan usul berkaitan agama Islam, ia juga dipercayai ada kaitannya dengan perancangan PKR sendiri untuk menyingkirkan Amirudin selepas Menteri Besar itu secara terbuka

mengkritik Anwar dan memilih untuk berpihak kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Sebagai rekod, PKR mempunyai 21 kerusi, DAP (16), Amanah (8), Bersatu (5), Barisan Nasional (5) serta Pas (1) daripada keseluruhan 56 kerusi DUN Selangor.

Dalam pada itu, ADUN yang sama memaklumkan, usaha Amirudin untuk menggagalkan undi tidak percaya terhadapnya juga sukar membuahkan hasil kerana sudah tiada lagi kepercayaan dalam kalangan majoriti wakil rakyat.

“Dia cuba berunding khususnya dengan Amanah dan Bersatu tetapi saya tidak lihat ia akan berjaya,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Related Articles

2 Comments

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker